albatros

Apa nasib haiwan di zoo seluruh negara

KITA semua sedia maklum pelbagai spesis haiwan di negara ini sedang diancam kepupusan kerana kegiatan pemburuan haram, penerokaan hutan tidak terkawal dan pembangunan.

Seekor harimau memerlukan kawasan rayauan menjangkau 50 kilometer tidak akan dapat bertahan jika kawasannya di ceroboh sebagaimana berlaku kegiatan pembalakan dan perlombongan yang kita saksikan dan yang terkini di kawasan Tasik Chini.

Perbuatan tidak bertanggungjawab ini sering kita terlepas pandang kerana ia di lakukan di kawasan jauh ke dalam hutan hingga tidak disedari masyarakat umum.

Umum mengetahui antara faktor terbesar kepupusan Harimau Malaya di negara ini disebabkan manusia berdasarkan aktiviti yang dijalankan, antaranya pembangunan yang tidak terancang serta pemburuan tidak terkawal.

Seterusnya, aktiviti tersebut secara sendirinya telah memusnahkan habitat yang selama ini menjadi tempat haiwan itu berlindung terutama Harimau Malaya mengalami kepupusan seperti disenaraikan secara rasmi oleh Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) sebagai spesies yang sangat terancam.

Situasi itu memberi gambaran jelas, sekiranya tiada sebarang langkah pemuliharaan dilakukan segera, Harimau Malaya yang menjadi kebanggaan negara ini berdepan risiko sangat tinggi untuk pupus.

Sekitar 20 tahun lalu, terdapat sekurang-kurangnya 500 ekor Harimau Malaya hidup liar di seluruh hutan di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, jumlah itu semakin berkurangan dan dianggarkan ketika ini hanya 250 hingga 340 ekor saja masih kekal di habitat masing-masing.

Meskipun pelbagai penguatkuasaan dilakukan, kita tak boleh nafikan aktiviti pemburuan masih berleluasa, haiwan seperti babi hutan, kancil dan rusa, semua yang menjadi makanan utama harimau diburu secara melampau.

Itu kisah haiwan di dalam rimba, tetapi haiwan yang berada di dalam zoo di seluruh negara juga turut terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Kekurangan dana untuk mengendali premis ekoran tiada pengunjung, memberi tekanan kepada zoo.

Harimau contohnya secara purata, berat harimau yang ada antara 120 kg hingga 130 kg dan boleh mencapai hingga 176 kg tentu memerlukan makanan yang banyak.

Zoo Melaka sahaja mempunyai 600 haiwan daripada 150 spesies dari seluruh dunia yang ditempatkan di situ.

Mudah-mudahan apabila pandemik ini semakin reda dijangka akhir tahun ini, zoo akan dapat dibuka dan pengunjung kembali membanjiri pusat berkenaan, ia menghidupkan kembali zoo berkenaan dan sekaligus memastikan haiwan berkenaan tidak terbiar.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button