Anwar lulus peruntukan RM14 juta untuk projek ICQS Wang Kelian
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM14 juta bagim projek ICQS Wang Kelian.
Perdana Menteri yang tiba untuk lawatan singkat ke Perlis terus ke Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis untuk mempengerusikan Taklimat Pembangunan Negeri Perlis.
Dalam hantara di platform X Perdana Menteri berkata, turut hadir Menteri Besar Perlis, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Mufti Perlis selain ketua jabatan serta agensi kerajaan pusat dan negeri yang terlibat.
“Perbincangan selama satu jam menyentuh pelbagai isu dan keperluan pembangunan di Perlis antaranya projek Dataran Kuala Perlis, Pasar Pelancongan Kuala Perlis, pembinaan jalan bagi menghubungkan Jalan Pesisiran Pantai (R152) ke Kuala Sanglang serta penyelenggaraan gerai dan kiosk di seluruh negeri ini.
“Menteri Besar Perlis turut membangkitkan permohonan peruntukan tambahan bagi Projek ICQS Wang Kelian, Mesin Pengimbas di Pelabuhan Darat Perlis serta peruntukan mengurus bagi Kerajaan Perlis.
“Mengambil kira keperluan yang mendesak, saya luluskan peruntukan tambahan sebanyak RM14 juta bagi Projek ICQS Wang Kelian untuk menyelesaikan segera isu kesesakan di pintu masuk negara.
“Saya juga singgung potensi negeri Perlis sebagai destinasi pelancongan dan bagaimana negara kita berbelanja tinggi untuk menanggung kos subsidi harga barang asas, namun harga makanan di negara kita masih lebih mahal berbanding di destinasi pelancongan negara jiran.
“Saya percaya jika ada usaha untuk mengatasi masalah ini, lebih ramai pelancong akan datang ke destinasi pelancongan di Perlis,” katanya. – SM