Nasional

Anwar: Kerjasama ekonomi antara ASEAN dan rakan dialog semakin positif

Kerjasama ekonomi antara ASEAN dengan rakan negara dialog semakin positif pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 didorong oleh pengenalan pelbagai program dan dana, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Memetik laporan BERNAMA, beliau berkata, selain isu serantau dan antarabangsa, persidangan kali ini turut memberi penekanan kepada kerjasama ekonomi di pelbagai sektor dan dibahas secara terbuka.
“Umpamanya, negara China persiapkan dana untuk bantuan tambahan, Amerika Syarikat (AS) mewujudkan ASEAN-US Centre, Australia peruntuk dana untuk bidang dan India mengumumkan bantuan khas dalam beberapa bidang.
“Jadi saya nampak ada perkembangan yang sangat positif pada sidang kali ini kerana ada tanda-tanda konkrit yang boleh mempercepat proses pelaburan kerana penekanan dibincang secara terbuka oleh pemimpin-pemimpin negara,” kata Anwar kepada media selepas menghadiri majlis penutup sidang kemuncak itu, di Jakarta, pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, susulan Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three (APT) ke-26 pada Rabu, negara-negara anggota ASEAN, bersama China, Jepun dan Korea Selatan, mengeluarkan kenyataan bersama yang memfokuskan kepada pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV).
Para pemimpin menghargai peranan penting yang dimainkan oleh China, Jepun, dan Korea Selatan dalam menyokong usaha ASEAN untuk mengurangkan pelepasan karbon dan memajukan ekosistem kenderaan elektrik.
Sementara itu, pada sidang kemuncak yang baru sahaja berakhir, Naib Presiden AS, Kamala Harris dan ASEAN mengumumkan hasrat mereka untuk menubuhkan, menerusi perkongsian awam-swasta, ASEAN-US Centre di Washington.
Pusat itu akan menginstitusikan dan memperdalamkan lagi hubungan antara AS dan ASEAN sambil memperkukuh sokongan untuk penglibatan ekonomi dan budaya AS dengan rantau ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button