Anwar gesa tentera Myamnar bebaskan Aung San Suu Kyi
Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin Myanmar termasuk Aung San Suu Kyi yang ditahan tentera negara itu supaya dibebaskan segera.
Menyifatkan penahanan mereka bertentangan kehendak rakyat, ketua pembangkang turut meminta tentera Myamnar menghormati proses demokrasi.
“Pemimpin dunia dan Asean harus menggembeleng suara dan menggesa untuk pembebasan segera pemimpin-pemimpin Myanmar dan mesti menegakkan negara hukum.
“Saya menggesa mereka hormat serta lindungi pilihan rakyat. Belum terlambat untuk melakukan yang sepatutnya untuk bangsa dan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Presiden Parti Keadilan Rakyat itu mengulas perkembangan terkini rampasan kuasa tentera melalui penahanan beberapa pemimpin politik kerajaan Myanmar.
Selain Aung San Suu Kyi selaku kaunselor negara, Presiden Myanmar U Win Myint dan pegawai kanan lain ditahan di ibu kota Naypyidaw hari ini atas dakwaan penyelewengan dalam pilihan raya pada November 2020.
Tentera Myanmar kemudian mengambil alih pentadbiran negara menerusi rampasan kuasa dan mengisytihar darurat selama setahun.
Anwar menegaskan semua harus menjunjung perlembagaan, mandat rakyat dan akur keputusan pilihan raya sekalipun mereka terpalit isu pencabulan hak asasi masyarakat Rohingya.
“Demokrasi di Myanmar masih pada peringkat permulaan serta yang punya masa depan. Tindakan pihak tentera ini hanya akan membalikkan aspirasi rakyat Myanmar, dan menjerumuskan negara itu terus ke lembah kediktatoran,” katanya.