Politik

Anwar digesa berhenti beretorika dan maha putar

Kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia yang merudum ke tangga ke-34 pada tahun ini adalah suatu tamparan hebat kepada Perdana Menteri dan seruan lantang (clarion call) untuk beliau berhenti menjadi kaki retorik dan maha putar (master spinner).

Data-data yang dibentangkan oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) dalam laporannya jelas menunjukkan bahawa Malaysia tidak berada pada landasan ekonomi yang betul.

Kedudukan daya saing negara merosot dalam semua bidang yang diukur, kecuali infrastruktur. Malaysia mengalami penurunan ketara dalam sub-sektor ekonomi domestik, turun 19 anak tangga ke kedudukan ke-35, dan dalam produktiviti dan kecekapan, jatuh 17 anak tangga ke kedudukan ke-53.

Lebih membimbangkan, kecekapan perniagaan di Malaysia, merosot daripada kedudukan ke-24 semasa pandemik COVID-19 melanda negara kepada kedudukan ke-40 tahun ini.

Dalam kalangan negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita kurang daripada $20,000, skor yang dicatatkan sebanyak 68.13 mata menyebabkan Malaysia tertinggal di belakang Thailand (72.51) dan Indonesia (71.52).

Buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia ketinggalan di belakang Indonesia dan Thailand dalam ranking daya saing dunia. Ini adalah suatu fakta yang pahit untuk diterima kerana Malaysia sebelum ini pernah digelar sebagai Harimau Asia dengan kedudukan ekonominya yang kukuh dan berdaya saing.

Malah, Anwar Ibrahim sepatutnya menjadi lebih tawadduk dan tidak lagi menyombong apabila melihat prestasi Malaysia dalam ranking daya saing dunia adalah lebih baik pada zaman pandemik iaitu di tangga ke-27 pada tahun 2020 dan tangga ke-25 pada tahun 2021 berbanding ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Ini menunjukkan komuniti perniagaan dan perindustrian antarabangsa melihat Malaysia mempunyai potensi ekonomi yang lebih baik pada masa itu berbanding sekarang.

Ini menunjukkan sesuatu yang amat tidak kena sedang berlaku dalam pengurusan ekonomi negara yang akan memberi impak negatif secara jangka panjang terhadap daya saing ekonomi Malaysia dan kemakmuran hidup rakyat.

Masakan tidak, sejak mengambil alih pentadbiran negara hampir dua tahun lalu, hampir tidak ada satu pun berita baik tentang ekonomi negara yang diraikan oleh rakyat dan komuniti perniagaan di Malaysia. Nilai ringgit merudum, pertumbuhan ekonomi merosot, cukai dinaikkan, subsidi ditarik balik, harga barang mahal, kos sara hidup rakyat meningkat dan kos menjalankan perniagaan juga meningkat.

Ketika saya menjadi Perdana Menteri pada zaman pandemik, kerajaan bukan sahaja melihat soal kebajikan rakyat, tetapi juga soal kelangsungan perniagaan. Adalah menjadi dasar kerajaan pada waktu itu untuk memulihkan perniagaan melalui pelbagai bentuk bantuan dan insentif. Ini kerana kita tahu kepentingan perniagaan dan industri dalam memacu ekonomi negara, menyediakan pekerjaan kepada rakyat dan meningkatkan pendapatan mereka.

Malangnya, Anwar bersikap sombong dengan komuniti perniagaan sehingga sanggup mengugut untuk membatalkan lesen mereka jika mereka menaikkan harga ekoran penarikan balik subsidi diesel. Saya tidak pernah lihat seorang Perdana Menteri bersikap seperti ini.

Masakan dia tidak tahu bahawa kenaikan harga adalah disebabkan kos menjalankan perniagaan meningkat akibat dasar kerajaan mengenai penarikan balik subsidi bahan api. Akhirnya, rakyat yang menanggung beban.

Ini hanyalah satu contoh kelemahan pengurusan ekonomi di bawah kepimpinan Anwar. Banyak lagi perkara lain yang menjadi sebab mengapa daya saing Malaysia merudum seperti yang dilaporkan oleh IMD dalam laporannya.

Sudah sampai masanya Anwar mengakui realiti sebenar bahawa ekonomi Malaysia tidak bertambah baik di bawah kepimpinannya. Justeru, nasihat saya kepada Anwar, hentikan beretorik. Urus ekonomi negara dengan cermat dan bijak.

Saya percaya rakyat Malaysia sudah letih dengan cara anda mentadbir negara dan mengurus ekonomi. Rakyat mahu Malaysia kembali menjadi kuasa ekonomi yang gemilang di rantau ini dan mengecap kehidupan yang lebih makmur. Setakat ini kepimpinan anda membawa Malaysia ke lembah kemunduran, bukan maju ke mercu kegemilangan.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Pengerusi
Perikatan Nasional

SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button