PolitikPRK

Anifah `kecil hati’ dengan pengundi Kimanis?

MENGAPA bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memilih untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis 18 Januari ini?

Juga, mengapa pula penyandang kerusi Kimanis sejak 2004 itu bertindak keluar UMNO pada 19 September 2018 dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat Bebas?

Menurut sumber kepada Suara Merdeka, Anifah berasa `kecil hati’ dan tersinggung dengan sentimen pengundi dan penyokongnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei tahun lalu.

“Sokongan yang diterimanya amat sedikit berbanding sumbangannya selama ini di Kimanis, hanya menang dengan majoriti tipis 156 undi. Ini antara sebab beliau memilih tidak bertanding dalam PRK Kimanis,” kata sumber berkenaan hari ini.

Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 memperoleh 11,942 undi pada pertandingan tiga penjuru menentang Datuk Karim Bujang dari Parti Warisan Sabah yang mendapat 11,786 undi dan calon Harapan Rakyat, Jaafar Ismail (meraih 1,300 undi).

Sebelum Kimanis, beliau merupakan Ahli Parlimen Beaufort pada 1999 sebelum dilantik menjadi Timbalan Menteri Industri Utama oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri ketika ini.

Di bawah kerajaan terdahulu, Anifah bersama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dari Sarawak, mengetuai jawatankuasa Kabinet untuk melihat pemulihan hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63.

Beliau turut membangunkan badan bukan kerajaan (NGO), dikenali sebagai MySabah dalam menuntut semula hak Sabah, terutama pulangan sebanyak 40 peratus daripada pendapatan bersih dikutip oleh kerajaan Persekutuan kepada negeri itu.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button