ANGKASA, NAFAS tubuh jawatankuasa bantu rakyat depani kos sara hidup
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) pada hari ini bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa bagi menggerakkan usaha dalam membantu rakyat
mendepani kos sara hidup seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri baru – baru ini.
Persetujuan menubuhkan Jawatankuasa tersebut dicapai melalui Kunjungan Hormat oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menemui Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob di pejabatnya hari ini.
Pertemuan tersebut antara lain membincangkan kerjasama dan strategi yang boleh dimainkan oleh kedua-dua
organisasi tersebut bagi membantu pihak kerajaan dalam mendepani isu kos sara hidup yang semakin meningkat pada ketika ini.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika ditemui pemberita menyatakan kerjasama ini bakal memanfaatkan sekurang – kurangnya 8 juta anggota koperasi dan ahli NAFAS serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya bagi mendapatkan barang keperluan harian dengan harga yang lebih berpatutan.
“Antara strategi ANGKASA adalah melibatkan koperasi dalam seluruh rantaian pembekalan dan pengeluaran yang mana kita akan dapat mengawal harga sesuatu produk di pasaran seterusnya penjimatan kepada pengguna.
“Pihak NAFAS seperti kita ketahui mempunyai pengalaman amat luas dalam pengeluaran produk pertanian dan
sudah tentu kerjasama ini akan membantu pihak koperasi untuk meluaskan lagi bentuk produk dan perkhidmatan yang dapat ditawarkan dalam pasaran.”
Dalam pada masa yang sama Zamri Yaakob turut mengalu–alukan kerjasama tersebut yang akan memanfaatkan banyak pihak.
Menurut beliau langkah susulan akan diambil oleh kedua pihak dan juga gerakan koperasi bagi memenuhi
keperluan ayam segar dan produk asas tani yang lain di dalam pasaran.
Penglibatan koperasi dalam ekosistem pembekalan juga akan mengurangkan peranan orang tengah sekali gus mampu menawarkan harga yang lebih murah kepada pengguna.
Abdul Fattah turut mencadangkan kerajaan untuk menubuhkan Lembaga Bijirin bagi membantu negara memenuhi keperluan jagung bijirin yang pada masa ini diimport dari luar negara.
Jelasnya peningkatan pengeluaran hasil jagung bijirin dalam negara yang merupakan komponen utama makanan ayam akan membantu kestabilan harga dalam jangka masa yang panjang dan akan mengurangkan manipulasi
harga dalam rantaian pembekalan ayam.
Menurutnya juga ANGKASA akan memainkan peranan melalui hubungan strategik bersama koperasi luar negara untuk mengimport barangan keperluan yang lebih murah dari harga pasaran dan membawa masuk teknologi pembuatan bagi memastikan pengeluaran produk secara lebih efisiyen. – SM