Angkara Gadai Barang Kemas, Pembelian Gelang Tangan Emas Melonjak!
Siapa sangka ada barang kemas atau gelang tangan yang harganya dijual bermula RM4.81 di platform Shopee dan kini menjadi buruan para isteri dan wanita yang ingin membahagiakan diri sendiri.
Semua berpunca daripada seorang pensyarah UiTM, Prof. Ts. Dr. Roshana Takim yang mengherdik pelajar dan golongan B40 dalam kelasnya secara atas talian.
Roshana mempersoalkan pelajarnya yang masih tidak mempunyai laptop meskipun sudah memasuki semester kelima atas sebab yang kurang jelas.
- Mungkin laptop pelajar itu rosak kerana terendam akibat banjir
- Mungkin laptop pelajar itu dicuri oleh individu miskin harta
- Mungkin laptop pelajar itu belum sempat dibeli
- Mungkin laptop pelajar itu tersorok dalam almari
Serta bermacam-macam lagi kemungkin yang boleh terjadi untuk memuaskan nafsu orang ramai bagi menzahirkan perkataan ‘tiada laptop’.
Namun demikian, disebabkan Roshana mencadangkan supaya pelajar terbabit meminta kakaknya menjual barang kemas semata-mata untuk membeli laptop, kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi.
Yang turut hangat dicari ketika ini adalah gelang emas yang dipakai Roshana dalam sesi pengajarannya secara atas talian itu.
Netizen masih kabur untuk melihat apakah corak sebenar gelang emas tersebut namun lain yang dicari, lain yang dijumpa, netizen menemui gelang emas yang dijual di Shopee pada harga murah.