Anggota polis, isteri antara enam maut kemalangan ngeri
ANGGOTA polis dan isteri antara enam yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tungku berhampiran Kampung Membantu, Lahad Datu hari ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata nahas pada 8.30 pagi itu membabitkan sebuah treler membawa muatan minyak diesel, kenderaan Isuzu D-Max dan Proton Saga.
“Lizam Ibrahim, 50, anggota polis berpangkat sarjan yang memandu Isuzu D-Max bersama isterinya Suhana Wahap, 39, seorang suri rumah maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Lizam yang sebelum ini berkhidmat di Balai Polis Kinabatangan, baru sahaja seminggu bertukar dan bertugas di Balai Polis Cenderawasih, Tungku dekat sini.
Nasri berkata empat individu lain yang maut ialah pemandu treler Tajuddin Mansur, 64, serta tiga lagi individu menaiki Proton Saga iaitu Mohamad Faddhil Abd Jaid, 36; Mohd Jamil Janil, 22; dan Hatijah Jakaria, 35.
Nasri berkata siasatan awal mendapati pemandu treler berkenaan yang dari arah Lahad Datu ke Tungku, hilang kawalan ketika menuruni bukit dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Saga dan Isuzu D-Max dari arah Tungku.
Pertembungan itu turut menyebabkan treler terbabit terjatuh ke dalam gaung sedalam 18 meter, manakala dua kenderaan lain remuk, katanya.
Menurut Nasri, kes itu disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –BERNAMA