
Anak bongsu ADUN Gurun meninggal dunia akibat masalah jantung
ANAK bongsu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar, Muhammad Darwisy, 12 bulan, menghembuskan nafas terakhir di rumah mereka di Resort Homes Cinta Sayang awal pagi tadi. Bayi itu dilaporkan mengalami masalah kesihatan sejak lahir dan dipercayai mempunyai komplikasi berkaitan jantung.
Menurut Baddrol, kejadian itu disedari isterinya, Nur Izyan Mustafa Khalid, 37, ketika beliau mahu memberikan susu kepada anak mereka.
“Isteri saya terkejut melihat wajahnya berubah dan tidak sedarkan diri. Saya segera menghubungi ambulans, namun pasukan perubatan yang tiba kemudian mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), hari ini.
Baddrol, bekas pemain skuad Harimau Malaya yang pernah beraksi untuk Kedah dan Sabah sebelum memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah 2023, berkata keluarganya masih menunggu proses bedah siasat yang dijangka dilakukan pagi ini.
Selesai bedah siasat, jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Muttaqin, Taman Ria untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin, Taman Kelisa Ria.
Baddrol dan isterinya dikurniakan empat orang anak. Allahyarham Muhammad Darwisy mempunyai saudara kembar perempuan, Dhiya Dinara, manakala dua lagi anak mereka ialah Dhiya Delisha, 9, dan Dhiya Daniya, 4 tahun.