Hiburan

Anak allahyarhamah Seniwati Kasmah Booty, Kesuma, meninggal dunia

KELUARGA allahyarhamah Seniwati Kasmah Booty sememangnya dikenali jiran sekampung Klang Gate Baru.

Duduk berjiran satu lorong di Lorong Kancil, selain daripada keluarga arwah Seniwati Kasmah Booty atau lebih mesra dengan panggilan Makcik Kasmah dalam kalangan kami yang peringkat usia anak ialah arwah Seri Panggung Bangsawan, Mak Enon.

Di Lorong Kancil jugalah, pelakon komedi arwah Yusni Jaafar, ibu kepada Raja Ema dan komposer Is Wow, pernah tinggal dan di antara arwah Makcik Kasmah dengan arwah Makcik Yusni, mereka adalah adik beradik.

Selain daripada anak-anak seni, di Lorong Kancil juga menjadi tempat tinggal mereka yang bergelar guru, ustaz dan ustazah. Pendek kata, Lorong Kancil ala-ala Hollywood kerana di situlah tempat tinggal pelakon filem Melayu Klasik zaman Jalan Ampas, Singapura.

Hari ini, seorang lagi anak arwah Makcik Kasmah telah pulang ke rahmatullah. Allahyarham Kesuma Booty atau lebih mesra dengan panggilan Abang Kesuma.

ALLAHYARHAMAH Seniwati Kasmah Booty, ibu Kesuma.

Arwah menghembuskan nafas terakhirnya di rumah pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

Mengimbau kembali zaman silam, bagi mereka yang mengenali arwah Abang Kesuma, perwatakannya amat menyenangkan kami, cucu-cucu arwah Mak Enon (anak arwah  mak Enon, arwah Ahmad Kassim (Mat Kassim Trio/Piano) dengan arwah Pranny – pelakon filem Bujang Lapok) .

Arwah Abang Kesuma agak pendiam orangnya, tidak banyak cakap tetapi tidak sombong dan menghormati orang yang lebih tua.

Arwah Abang Kesuma, 69, meninggalkan seorang isteri yang mesra dipanggil Kak Bai. Kak Bai adalah cinta hati Abang Kesuma dari muda sehingga ke akhir hayatnya.

Mungkin darah seni yang mengalir dalam diri arwah Abang Kesuma turun kepada anak lelakinya, Alfa Kesuma dan Rumie Kesuma.

Alfa juga merupakan seorang penggiat seni tanah air, seorang komposer dan boleh bermain alat muzik dengan bagus, sebagus Booty Boys.

Cuma Alfa agak low profile, jauh sekali gila glamor kerana itulah sikap arwah Abang Kesuma yang low profile walaupun arwah adalah anak seorang seniwati filem popular.

Suatu ketika dahulu, Booty Boys terkenal sebagai legasi anak seni; arwah Makcik Kasmah dan suaminya, arwah Pakcik Booty Jacob.

Hari ini, anak-anak arwah Makcik Kasmah masih ada dua orang lagi iaitu iaitu Abg Maya dan Abang Mama atau nama penuhnya, Purnama Booty.

Sebelum Abang Kesuma pulang ke rahmatullah, dua anak arwah Makcik Kasmah telah pulang kerahmatullah iaitu arwah Abang Suria dan Kak Cempaka Booty.

Unik nama-nama anak-anak arwah Makcik Kasmah Booty namun legasi arwah Makcik Kasmah, anak seni disambung oleh cucu-cucunya.

Jenazah arwah Abang Kesuma telahpun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate pada pukul 10 pagi.

Al-Fatihah buat arwah. Moga Allah SWT cucuri rahmat ke atas roh arwah dan Salam Takziah kepada isteri, anak-anak dan seluruh keluarga allahyarham Kesuma Booty. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button