Amy Search dan Awie berdamai setelah 4 tahun tidak bertegur
Penyanyi Rock Amy Search dan Awie akhirnya memilih untuk berdamai setelah empat tahun tidak mereka bermasam muka.
Menurut laporan Berita Harian, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Adzhar Othman memaklumkan dia mengambil masa yang lama untuk memikirkan perkara ini sebelum memutuskan untuk berdamai dengan Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman.
Sebelum ini hubungan mereka dingin selepas pemergian pemain drum kumpulan Search, Allahyarham Yazit Ahmad.
“Hubungan kami mulai dingin selepas Allahyarham Yazit meninggal dunia pada 2019. Alhamdulillah, kami sudah rujuk (berdamai). Saya rasa bulan ini sangat mulia dan bulan untuk memaafkan.
“Ada seseorang diutuskan untuk bertemu saya bagi membincangkan mengenai pertemuan ini. Bagaimanapun saya ambil masa berminggu-minggu untuk memikirkan perkara itu.
“Maklum sajalah, semua orang ada ego masing-masing. Selepas lama berfikir, saya tak nak berlaku biadab pada orang yang lebih dewasa daripada saya.
“Dan juga rasa sayang saya kepadanya sebagai seorang abang dan menganggapnya sebagai pelopor rock dan nombor satu dalam Malaysia ini.” Jelasnya.
Tambah vokalis bagi kumpulan Wings itu, melihat faktor usianya yang semakin meningkat mendorongnya untuk menamatkan konflik dengan Amy.
“Kita pun makin hari makin tua. Kubur pun memanggil-manggil. Cukuplah saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengaturnya kerana menyatukan kami semula.
“Saya bersyukur dan menyifatkan usaha ini sebagai asbab untuk kami berbaik dan pahalanya sangat besar.” Luahnya.
Sengketa antara dua penyanyi rock legenda itu mula tercetus selepas Amy mengaku terluka dengan komen Awie yang mendakwanya mengabaikan arwah Yazit ketika sakit.
Tuduhan yang dilemparkan oleh Awie itu menurut Amy tidak berasas kerana mendengar dari sebelah pihak sahaja.
Artikle Berkaitan ;>
Takkan Rockers Takut Hujan, Konsert Search Rockin On Rooftop Super Gempak!