Amir Masdi beri semangat menerusi lagu
Kemunculan penyanyi Amir Masdi buat pertama kali di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) yang lalu membuka mata ramai pihak akan kemampuan sebenar dirinya.
Malah, sejak itu juga Amir, 25, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi terus menjadi perhatian selain berjaya mengumpul peminat baharu.
Apatah lagi genre muzik yang dibawa iaitu ‘modern rock’ dianggap cukup kena dengan mutu vokal hebat beliau dan mampu menjadi identiti diri dalam kerjaya nyanyiannya.
Yakin dengan genre muzik yang menjadi pilihan, Amir yang popular menerusi lagu ‘Puas’, ‘Kau Sakiti’ dan ‘Asmara’ muncul dengan buah tangan terbaharu, iaitu lagu ‘Esok’ hasil ciptaan bersama Shazee Ishak, Audi Mok dan Amir sendiri.
Lagu bergenre ‘modern rock’ terbitan syarikat rakaman Nova Music itu sudah dirakam sejak awal tahun ini lagi.
“Lirik lagu ini mengikut konsep dan idea daripada saya sendiri. Saya mahu sampaikan sesuatu yang boleh memotivasikan diri dan memberi semangat. Sebab sekarang semua orang berada dalam suasana suram akibat pandemik yang berpanjangan.
“Jadi, menerusi lirik lagu ini saya nak pujuk hati dan menenangkan orang. Shazee faham apa saya cuba sampaikan dan dia yang menulis liriknya. Saya pula tidak begitu mahir dalam penulisan lirik lagu, itu sebab saya minta tolong dia.
“Lagu Esok sudah disiapkan sejak awal tahun ini. Kebetulan saya juga ada beberapa lagu lain untuk dilancarkan sebagai single terbaharu. Malah, ikut perancangan asal nak keluarkan lagu yang muziknya lebih ‘up beat’. Tapi selepas berbincang dengan pasukan, semua sepakat untuk lancarkan lagu Esok dulu,” katanya.
Menurut Amir, genre muzik yang diketengahkan itu sudah menjadi ‘trademark’ muzik yang dbawa beliau selain ia juga sudah dekat di hati peminatnya.
“Genre muzik ini saya tetapkan sebab berasa hala tuju muzik saya orang sudah mula kenal dan terima. Peminat sudah tahu saya penyanyi genre ini. Dalam masa sama, saya memang meminati genre sebegini.
“Kalau lagu berentak perlahan pun macam ‘slow ballad’, saya tambah elemen bersesuaian untuk menjadikan ia lebih ke arah ‘modern rock’. Macam lagu Esok ini, pada asalnya nak piano saja, tapi apabila fikir balik ia tak berapa kuat dan menark. Jadi saya kembali ke perancangan asal,” katanya.
Amir juga mengakui, pembabitannya pada pentas AJL 35 berjaya menonjolkan bakat nyanyian dimiliki.
“Bagi saya AJL membuatkan saya dapat peminat baru. Sejak itu juga, orang sudah mula mahu lebih mengenali siapa itu Amir Masdi. Diakui sejak dari dulu lagi saya sentiasa bekerja keras dalam kerjaya. Saya tanam diri tekad untuk tidak berasa selesa dengan apa yang dicapai.
“Sebagai contoh, sekalipun dah berjaya memasuki AJL, tidak bermakna saya perlu berehat kerana sudah berada di pentas itu. Sebaliknya, saya perlu terus berusaha dan tingkatkan lagi pencapaian di masa hadapan. Walaupun sudah masuk AJL, kalau boleh selepas ini saya berazam nak menang pula.
“Dalam masa sama, saya mahu sentiasa ada peningkatan dalam kerjaya agar terus bertahan dalam industri. Disebabkan itu, saya akan terus berusaha dan memajukan diri,” katanya.
Berkongsi mengenai imej dibawa, Amir berkata dia selesa dengan imej sedemikian iaitu berambut panjang.
“Ada yang tegur kerana ada perubahan ketara dan nampak lebih rock. Mungkin sebab penampilan dan rambut. Ini akan menjadi imej tetap saya dan saya selesa dengan imej ini. Ramai yang bersetuju juga.
“Malah, secara peribadi saya melihat imej ini paling sesuai untuk saya. Pada masa akan datang, tak pasti lagi. Kalau jumpa idea baru, ia akan bertukar. Tapi untuk sekarang saya akan kekal dengan imej ini. Saya okay dan gembira,” katanya.
Lagu ‘Esok’ terbitan Nova Music bakal dilancarkan pada 27 Ogos ‘21 dan boleh mula distrim di semua platform muzik digital pada hari tersebut. -SM