AgamaNasionalNegeri

Ambil peluang penghujung Ramadan tingkat ibadah, berwakaf – Pemangku Raja Perlis

PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya umat Islam mengambil perhatian dan tidak melepaskan peluang pada penghujung bulan Ramadan ini untuk melipatgandakan lagi amalan ibadah dan kebajikan.

Baginda bertitah, amalan kebajikan itu termasuk berusaha menyuburkannya dengan berwakaf.

Sehubungan itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menyediakan pelbagai peluang kepada masyarakat untuk melaksanakan ibadah berwakaf bersempena bulan kesedaran berwakaf peringkat negeri Perlis pada bulan Ramadan ini.

“Antara inisiatif projek wakaf yang sedang diperkenalkan adalah Pusat Rawatan Katarak berkonsepkan wakaf dengan kerjasama Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar; sumbangan wakaf prasarana di Pusat Autisme Negeri Perlis dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia; Wakaf Khadamat yakni wakaf perkhidmatan; selain wakaf am,” titah Baginda.

Demikian titah baginda selepas menyempurnakan penyerahan peruntukan sumbangan MAIPs berjumlah RM25,000 untuk tujuan pengimarahan Ramadan kepada lima buah pusat dan rumah kebajikan di sekitar Perlis pada tahun ini.

Simbolik penyerahan tersebut disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis yang diterima oleh Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Rusdi Ishak bagi pihak lima buah rumah kebajikan terbabit di Masjid Nurul Hikmah Wang Bintong, Kangar.

Ia melibatkan Rumah Seri Kenangan Jejawi, Rumah Kanak-Kanak Arau, Pusat Jagaan Warga Emas Rumah Sejahtera Batu Bertangkup, Rumah Sejahtera Warga Emas Baitul Hanan Behor Mali dan Pusat Jagaan Teratak Rahmat Mata Air.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Sumbangan wakaf masyarakat terus melalui MAIPs. Sila layari www.maips.gov.my – SM

BACA Lakukan amalan sunat menjelang 10 Ramadan terakhir

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button