Alice Chang sekali lagi cetuskan kontroversi, hamil anak Datuk Seri pula
ALICE Chang sekali lagi mencetuskan perhatian apabila mendakwa dirinya hamil anak kepada seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang sudah berkahwin.
Pengakuan tersebut dibuat ketika ditemui wartawan semasa menemani adiknya, Adeline, ke mahkamah.
Alice sedang disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Jika didapati bersalah, Alice boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.
Dalam pertemuan dengan wartawan, Alice mengesahkan kehamilannya namun tidak mendedahkan identiti Datuk Seri tersebut.
Dia juga menjelaskan bahawa hubungan mereka dalam keadaan baik dan meminta agar perkara ini tidak diperbesarkan kerana lelaki berkenaan sudah berkeluarga.
“Kami dalam keadaan baik. Hubungan kami stabil dan tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh netizen. Oleh kerana Datuk Seri sudah berkahwin, saya mohon agar perkara ini tidak didedahkan kepada umum,” kata Alice.
Sementara itu, Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM7,000 ke atas Adeline kerana membuat hantaran yang jelik di Facebook terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.
Sebelum ini, nama Alice mula menjadi bualan di media sosial apabila dia dipecat serta-merta dari Auntie Anne’s cawangan Mid Valley setelah bertindak mencium doh roti di premis tersebut, yang menimbulkan kontroversi.