Politik

Akmal Nasir pertahan jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bharu

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir akan mempertahankan jawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bharu pada pemilihan parti yang bakal berlangsung bulan ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan cabaran dan harapan rakyat yang semakin tinggi terhadap kepimpinan parti, khususnya di peringkat cabang.

“Saya teringat ketika mula-mula diberi amanah sebagai Ketua Cabang, ia satu misi yang dilihat mustahil namun akhirnya berjaya dilaksanakan. Tetapi cabaran sebenar bermula selepas kemenangan,” katanya dalam kenyataan.

Bekas Ketua Angkatan Muda itu juga berkata, cabaran sebenar parti itu datang selepas kemenangan dengan harapan dan jangkaan rakyat yang terus meningkat.
Oleh itu katanya, ada keperluan untuk PKR terus fokus membina impak sebenar kepada rakyat melalui keutamaan yang tepat dan pendekatan gerak kerja yang berprinsip.
“Untuk terus relevan, kita tidak boleh bergantung kepada pendekatan kosmetik semata-mata. Kita mesti menyelesaikan masalah sebenar rakyat dengan penuh integriti dan tanggungjawab.
“Saya cuba lakukan yang terbaik menyelesaikan masalah rakyat, membawa perubahan atau reformasi serta memastikan ada impak dalam gerak kerja selagi berperanan sebagai pimpinan pusat mahupun Timbalan Menteri,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button