Akhlak mulia ciri utama bentuk pekerja berintegriti
AKHLAK mulia dalam ajaran Islam merupakan ciri utama bagi membentuk integriti setiap pekerja untuk menjadi lebih berjaya dan juga cemerlang.
Antara etika akhlak tersebut termasuklah menjauhkan diri daripada perkara-perkara syubhah, memelihara pandangan mata, lidah, pemalu, lemah-lembut, sabar, benar dan jujur, ‘tawadhu’, tidak buruk sangka, mengumpat serta murah hati dan sebagainya.
“Justeru itu marilah kita sama-sama menghiasi diri kita dengan sifat-sifat ‘mahmudah’ (sifat mulia) dan dengan akhlak yang unggul dalam meningkatkan mutu pekerjaan yang dilakukan dan menjadi cerminan yang baik kepada agama Islam yang kita cintai ini. InsyaAllah,” titah Raja Muda Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Seriab, Kangar.
Kayuhan amal yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu menyantuni 3 asnaf terpilih bagi setiap edisi.
Setiap asnaf menerima bantuan dari MAIPs berupa wang tunai RM700, Kits MAIPs Peduli dan juga beras Fidyah.
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berkenan menyerahkan sumbangan tersebut kepada Zalilah Yaacob, 52 dari Gunung Medan, serta Ahmad Bakri Abu Bakar, 52 dan Che Mohd Ali Kasim, 85 dari Kampung Titi Serong.
Raja Muda turut berkenan meluangkan masa singgah ke Bazar Raya Karnival Jualan Ihsan Rahmah Madani di Dataran Lapang Kangar Jaya, Kangar.
Bazar ini telah mula beroperasi sejak 12 Mac sehingga 9 April depan mulai pukul 4 petang hingga 1 pagi.
Bazar ini menyediakan barangan keperluan menyambut Aidilfitri dengan harga yang mampu milik yang pelbagai serta jualan juadah untuk berbuka puasa.
Seramai 70 usahawan yang terlibat menjual pelbagai barangan termasuklah pakaian dan kuih raya serta 30 usahawan lagi yang menjualkan makanan untuk berbuka puasa.
Penganjuran bazar raya ini merupakan kerjasama Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis dan beberapa rakan strategik lain termasuklah Mokti’s, Pentas Utara, MyUS Group Companies serta Smart Leisure Travels.
Maklumat tersebut telah dipersembah maklumkan oleh Pengasas Mokti’s, Pengiran Muhammad Adil Awang Iskaderzulkarnain kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra. – SM
BACA Jadilah pemimpin yang adil dan berintegriti – Raja Muda Perlis