Ekonomi

AirAsia X rancang kumpul dana sehingga RM50 juta melalui cadangan penempatan saham dengan pelabur institusi

AirAsia X Berhad (AirAsia X) telah mengumumkan rancangannya untuk mengadakan cadangan penempatan saham (Cadangan Penempatan) dengan dua pelabur institusi, yang mana salah satu daripadanya adalah institusi pelabur tempatan, yang berpotensi untuk mengumpul sehingga RM50 juta modal baharu.

Antara tahun 2020 dan 2022, AirAsia X telah melaksanakan beberapa langkah untuk menangani kedudukan kewangan Syarikat berikutan pandemik termasuk skim penstrukturan semula hutang, penstrukturan semula korporat yang lain, dan latihan pembendungan kos. Melalui usaha berterusan untuk mengatur dan memperbaiki keadaan kewangannya, ditambah pula dengan peningkatan operasinya selepas pembukaan semula sempadan di seluruh dunia sejak awal tahun 2022, AirAsia X telah mengubah prestasi kewangannya sehingga mencatatkan keuntungan pada dua suku tahun berturut-turut bagi tempoh kewangan berakhir 30 September 2022 dan 31 Disember 2022.

Justeru, Cadangan Penempatan ini adalah tepat pada masanya dan strategik bagi Syarikat untuk mengumpul dana yang akan digunakan terutamanya untuk pengaktifan semula dan penyelenggaraan pesawat. Ini adalah latihan pengumpulan dana ekuiti pertamanya sejak tahun 2015, dalam pada AirAsia X terus menilai prestasi operasi dan kewangannya serta pelan penyusunan PN17 yang sedang dijalankan. Hasil daripada Cadangan Penempatan ini akan dimanfaatkan sebagai langkah pengumpulan dana sementara untuk memperkukuh keperluan modal kerja jangka pendeknya sementara ia terus pulih dan mengembangkan operasinya dalam era pasca pandemik ini.

Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X berkata: “Sejak pembukaan semula sempadan dunia pada tahun lepas, AirAsia X terus berkembang dan kami telah meningkatkan operasi kami untuk memenuhi permintaan perjalanan udara antarabangsa merentasi rantau ini. Sehingga bulan Mei 2023, AirAsia X mempunyai 17 buah pesawat dalam kumpulannya, yang mana 11 buah pesawat telah diaktifkan dan beroperasi. Kami mensasarkan untuk mengaktifkan lebih banyak pesawat menjelang akhir tahun ini. Setakat ini, kami telah melaporkan pemulihan prestasi kewangan Syarikat yang mencatatkan keuntungan pada dua suku tahun berturut-turut bagi tempoh kewangan berakhir 30 September 2022 dan 31 Disember 2022.

“Kami berbesar hati untuk memulakan era baharu selepas pandemik ini dengan keyakinan terhadap industri penerbangan yang jelas menunjukkan pemulihan ketara selepas tiga tahun. Cadangan Penempatan ini juga menandakan AirAsia X berada tepat pada landasannya dan akan mempunyai asas yang lebih kukuh untuk usaha berterusan dan bersepadu bagi menggiatkan semula perniagaannya, sejajar dengan pemulihan industri dalam masa terdekat.”

AirAsia X kini terbang ke 16 destinasi jarak sederhana termasuk Chengdu (Tianfu) yang dilancarkan baru-baru ini dan tiga laluan jarak dekat dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Bali – Denpasar dan Bangkok, dengan jumlah 83 penerbangan mingguan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button