Ahli politik perlu berjiwa negarawan – Sultan Kedah
Seluruh ahli politik di negara ini perlu bersepakatan dalam tempoh kritikal menangani masalah kesihatan dan ekonomi yang melanda negara sekarang.
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, pada tempoh genting ini, negara dan negeri Kedah memerlukan ahli politik yang berjiwa besar dan meletakkan masa hadapan negara melebihi kepentingan parti dan peribadi.
Titah baginda, pelantikan pimpinan baharu negara melalui proses rundingan tertutup sebelum ini bukan satu penyelesaian mutlak.
Sebaliknya, baginda bertitah, langkah tersebut hanyalah langkah kecemasan dalam menghadapi masalah kesihatan dan ekonomi yang lebih besar.
“James Freeman Clarke, seorang tokoh Amerika Syarikat pada kurun ke-19 ada menyebut bahawa orang politik memikirkan tentang pilihan raya seterusnya sebaliknya seorang negarawan memikirkan tentang generasi seterusnya.
“Beta menyeru semua ahli politik merenung kata-kata ini. Negara dan negeri Kedah pada tempoh genting ini memerlukan ahli politik berjiwa besar dan meletakkan masa depan negara serta negeri, melebihi kepentingan parti dan peribadi. Lebih tepat lagi ahli politik yang berjiwa negarawan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika Merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 melalui sidang video di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin bertitah, prosedur operasi standard (SOP) melibatkan aktiviti keagamaan di negeri ini perlu disemak semula agar lebih menyeluruh dan sesuai dengan situasi endemik.
“Menyedari hakikat kita akan melangkah ke fasa endemik, beta menyeru satu perancangan teratur dan jelas dapat diambil oleh kerajaan negeri dalam hal ehwal melibatkan aktiviti keagamaan.
“Beta berkehendak syiar Islam di bumi Kedah ini terus subur dan bersemarak,” titah baginda.
Selain itu, Sultan Sallehuddin bertitah, baginda sukacita apabila kerajaan Persekutuan mengumumkan Pulau Langkawi sebagai destinasi perintis bagi program gelembung perjalanan atau lebih dikenali sebagai ‘Travel Bubble’.
Titah baginda, walaupun inisiatif ini diberikan kepada pelancong tempatan yang sudah lengkap divaksin sahaja, namun baginda yakin inisiatif ini akan menjadi perintis kepada pembukaan lebih banyak lagi aktiviti pelancongan di negeri Kedah.
“Kerjasama dan persediaan rapi diperlukan bagi membolehkan program ini (gelembung perjalanan) dijayakan. Kemudahan pelbagai infrastruktur yang sedia ada hendaklah dibuat penambahbaikan di samping aktiviti pelancongan yang bersasar perlu digerakkan,” titah baginda.