Nasional

Agong tonggak kekuatan negara, pengikat perpaduan – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, institusi Yang di-Pertuan Agong adalah tonggak kekuatan negara dan rakyat pelbagai kaum.

Perdana Menteri berkata, baginda turut berperanan sebagai penaung agama Islam sebagai agama Persekutuan, pengukuh kedudukan bahasa Melayu dan pembela hak dan keistimewaan orang Melayu serta bumiputera.

“Sesungguhnya, pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku hari ini mencatat lembaran sejarah yang Insya-Allah akan mampu mengangkat martabat negara.
“Kerajaan dan seluruh rakyat jelata berdoa ke hadrat Allah S.W.T, semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Berdua serta kerabat, sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya, kekal karar di atas singgahsana pemerintahan, juga beroleh ‘afiyah dan penuh kedaulatan.
“Tuanku turut berperanan dalam menjamin jalinan erat di antara negara di peringkat ASEAN, negara-negara Islam dan di peringkat antarabangsa,” katanya semasa menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia atas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini.
Perdana Menteri juga berkata, institusi Yang di-Pertuan Agong adalah mahkota negara dan rakyat yang mampu mengikat semangat kesatuan dan perpaduan dan dimuliakan sebagai mercu keihsanan.
“Justeru, patik bagi pihak Kerajaan serta rakyat sekalian juga berikrar akan sentiasa menumpahkan taat setia kepada Tuanku,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button