BeritaTravel

Agenda pelancongan, kebudayaan Terengganu terus diperkasa dalam Belanjawan 2020

Kerajaan Terengganu memperuntukkan lebih RM14.5 juta untuk memperkasakan sektor pelancongan dan kebudayaan di negeri itu melalui pelbagai program yang dirangka dalam Belanjawan 2020.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri akan mempromosikan sektor pelancongan dengan lebih agresif menerusi pelbagai saluran domestik serta antarabangsa yang berimpak tinggi dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta.

“Kita optimis dengan potensi ekonomi sektor pelancongan dengan menganjurkan acara berprestij yang bertaraf antarabangsa dengan penglibatan komuniti setempat, sehubungan itu sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi tujuan itu.

“Pulau Bidong yang turut dikenali sebagai ‘The Little Saigon’ pula akan dimajukan sebagai satu produk pelancongan budaya dengan peruntukan RM1 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Tasik Kenyir di Hulu Terengganu pula katanya menerima peruntukan sebanyak RM3 juta untuk meningkatkan mutu pengurusannya dan kerajaan negeri berhasrat untuk mengisytiharkannya sebagai ‘Kenyir Hornbills Valley’ berikutan 10 daripada 12 spesies burung kenyalang telah ditemui di sekitar tasik itu.

Ahmad Samsuri berkata bagi memastikan segala perancangan aktiviti pelancongan dan kebudayaan itu berjalan dengan lancar, sebanyak RM1 juta akan diperuntukkan kepada badan pengurusan rasmi yang bertanggungjawab.

“Bagi mempromosikan lagi warisan budaya masyarakat Terengganu, kerajaan negeri juga akan mewujudkan sebuah perkampungan budaya di pekarangan Muzium Negeri sebagai salah satu pakej pelancongan warisan.

“Sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan ini agar kita dapat terus mengekalkan identiti dan warisan budaya yang menjadi satu keunikan di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, di bawah teras memartabatkan pelaksanaan Islam, dua pulau peranginan terkenal iaitu Pulau Redang dan Pulau Perhentian pula akan memiliki satu identiti baharu yang unik sebagai lokasi pelancongan Islam apabila Terengganu menubuhkan Pusat Dakwah Ummah.

“Ini bagi melahirkan pendakwah dan mewujudkan masyarakat yang cintakan ilmu dan celik agama dalam kalangan penduduk setempat. Sasaran utama pelatih di Pusat Dakwah Ummah itu nanti adalah anak-anak remaja pulau yang berusia 13 hingga 18 tahun.

“Selain itu, kita sedar aspek kebersihan adalah antara faktor yang akan menarik kedatangan pelancong, justeru sebanyak RM70 juta diperuntukkan bagi menjalankan kerja-kerja dan aktiviti berkaitan kebersihan termasuk semua pulau peranginan di Terengganu,” katanya.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button