fbpx
Politik

PAN akan berkubur seperti parti serpihan PAS yang lain

Parti Amanah Negara (PAN) akan menerima nasib yang sama seperti parti-parti serpihan sebelum ini yang terkubur satu demi satu, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, perkara tersebut dapat dilihat serta dibuktikan dengan peralihan Presiden PAS yang bersilih ganti hingga mencapai bilangan sembilan orang yang pernah memimpin parti itu.

Katanya, walaupun pelbagai cubaan dilakukan untuk memecahkan belahkan parti itu, PAS tetap teguh meneruskan perjuangannya hingga ke hari ini.

“PAS pernah hilang dah beberapa presiden, sembilan presiden (kesemuanya). Ada presiden yang meninggal dunia, presiden yang meninggalkan parti, PAS (masih) terus konsisten dalam perjuangan dia.

“Bahkan ada yang cuba-cuba nak pecahkan PAS, PAS terus teguh, yang pecah itu mati satu demi satu, dulu parti Hamim (Parti Hizbul Muslim Malaysia), parti Islah, parti Imam, parti Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia), (dan) Amanah akan terima nasib yang sama, (manakala) PAS akan terus (teguh),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad yang mengatakan bahawa PAS tiada hala tuju yang jelas jika Abdul Hadi tidak lagi memimpin parti itu.


Tambah Ahli Parlimen Marang itu, kenyataan Khalid hanyalah satu kenyataan yang menggambarkan perasaannya sahaja, ujar Abdul Hadi ketika ditemui di Majlis Hi Tea dan Dialog Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pelbagai Kaum dan Agama di Hotel Putra di sini hari ini.

Terdahulu, Khalid pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Amanah Kelantan Kali Ke-4 2019 di Kota Bharu, Kelantan, dilaporkan berkata, PAS tidak mempunyai mesej yang jelas kepada ahlinya selepas mengadakan muafakat bersama Umno dan hanya dianggotai ahli yang benar-benar taat kepada parti itu sahaja.

Show More

Related Articles

Back to top button