KEPELBAGAIAN kaum, budaya dan agama masyarakat Malaysia menjadikan masyarakat negara ini unik berbanding banyak negara lain.
Namun beberapa elemen penting dari pelbagai sudut perlu diuruskan dengan baik terutamanya dalam aspek kemajmukan sosial.
Agama merupakan asas kepada pemikiran, corak kehidupan dan prinsip-prinsip serta menjadi panduan bagi peradaban sepanjang masa.
Peraturan, undang-undang, hukum hakam yang telah dibentuk dan dikuasakan perlu dipatuhi oleh setiap rakyat negara ini.
Keabsahan sesebuah Kerajaan yang berkuasa atau sedang memerintah dan menjaga kepentingan masyarakat juga perlu mengikut lunas undang-undang.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 70 penerima dari Kariah Masjid Darul Salam, Padang Keria dan 70 lagi penerima dari Kariah Masjid Datuk Jaafar Hassan, Sungai Padang di Masjid Darul Salam, Padang Keria, Simpang Empat baru-baru ini.
Masing-masing menerima RM700 setiap seorang dengan jumlah penuh sumbangan MAIPs pada kali ini berjumlah RM98,000.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, “Bahasa Jiwa Bangsa” pula merupakan satu hikmah yang menggambarkan kedudukan bahasa dalam hubungannya yang menjadi kekuatan bangsa dan seterusnya negara.
“Adat dan budaya yang pelbagai perlu diraikan dan dihormati semua pihak tanpa membelakang agama,” titah Baginda. – SM
Artikel berkaitan > Sebuah tamadun itu kuat jika ekonomi kukuh – Raja Muda Perlis