
AEON raikan Ramadan bersama komuniti i
AEON terus mengukuhkan komitmennya terhadap komuniti tempatan melalui program AEON Mesra Ramadan Bersama Komuniti, sebuah inisiatif yang bertujuan menyemarakkan semangat Ramadan sambil membina hubungan erat dengan masyarakat.
Acara yang berlangsung di AEON Mall Nilai, Negeri Sembilan pada Jumaat lalu ini turut dihadiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai merangkap EXCO Kerajaan Negeri, Tuan Arul Kumar Jambunathan; Pengerusi AEON, Datuk Iskandar Sarudin; serta Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada.
Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan, termasuk sesi gotong-royong menyediakan hidangan tradisional Malaysia seperti dodol dan bubur lambuk. Tradisi pengagihan bubur lambuk tahunan ini dijalankan di kesemua 28 lokasi AEON Mall di seluruh negara, dengan sasaran mengedarkan sebanyak 31,000 pek secara berperingkat dari 15 hingga 23 Mac.
Program ini turut melibatkan penyertaan pihak pengurusan dan sukarelawan AEON, ahli komuniti setempat, wakil pihak berkuasa tempatan, NGO, serta pelajar dari Universiti Antarabangsa INTI, Nilai.
Selain itu, AEON bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam menganjurkan Bazar Ramadan di beberapa pusat beli-belahnya. Bazar ini menampilkan penyertaan 22 perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) yang menawarkan pelbagai keperluan Hari Raya seperti kuih raya, pakaian, aksesori, dan produk hiasan rumah. Inisiatif ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan PMKS tetapi juga memperkukuh ekonomi tempatan dengan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan kecil.
Datuk Seri Aminuddin Harun dalam ucapannya memuji usaha AEON dalam memperkasakan komuniti melalui pelbagai program yang bermanfaat. “Aktiviti sebegini mencerminkan komitmen AEON dalam mengamalkan konsep Ihsan, yang merupakan salah satu teras utama yang diketengahkan oleh kerajaan,” katanya.
Antara kemuncak program ini adalah inisiatif khas bagi membantu sekitar 100 kanak-kanak dari Pertubuhan Anak Yatim & Miskin Semarak, Sekolah Kebangsaan Nilai Impian, dan Komuniti Sikamat, Seremban. Setiap seorang menerima sumbangan RM200 untuk membeli keperluan Aidilfitri, selain RM50 sebagai duit raya.
Program ini merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat AEON yang dikendalikan melalui Yayasan AEON Malaysia (MAF), dengan matlamat memastikan golongan memerlukan dapat menikmati sambutan Aidilfitri dengan lebih bermakna.
Sementara itu, Datuk Iskandar Sarudin menyatakan bahawa penganjuran pelbagai aktiviti dalam satu lokasi pada hari yang sama mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam menyambut Ramadan. “Ia juga selari dengan aspirasi AEON untuk memberi impak positif kepada masyarakat, sejajar dengan nilai teras syarikat yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan ekosistemnya,” tambah beliau.