Ada ruang penambahbaikan pembukaan sekolah di negeri Fasa 4 PPN
MASIH ada ruang untuk penambahbaikan terhadap sekolah-sekolah yang akan dibuka di negeri-negeri dan kawasan yang telah berada di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, antara yang perlu diberi perhatian oleh pihak sekolah di negeri terbabit apabila sekolah dibuka adalah memastikan aliran pengudaraan yang baik di dalam satu-satu kelas.
“Ada beberapa perkara yang boleh ditambahbaik khususnya dalam konteks pengudaraan di bilik-bilik darjah dan bilik khas di mana poster-poster dan langsir yang tergantung perlu dialihkan bagi memastikan pengudaraan di setiap bilik yang akan digunakan murid ini berada di tahap terbaik,” kata Radzi.
Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke sekolah di Pulau Tuba, Langkawi, Kedah bagi meninjau persiapan dan persediaan sekolah.
Pada lawatan itu, empat sekolah sempat dilawatinya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi Pulau Tuba, Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Chempedak, SK Pulau Tuba dan SK Selat Bagan Nyior.
Langkawi kini berada di Fasa 4 PPN akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka bermula pada 3 Oktober ini.
Radzi menekankan kepentingan pihak sekolah memastikan pengudaraan yang baik di kelas-kelas pembelajaran murid-murid berikutan varian baru Covid-19.
“Sepertimana nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dalam konteks Delta Varian ini apa yang paling penting adalah pengudaraan bukan sahaja dallam bilik darjah, bilik khas, pejabat dan seluruh kawasan berbilik di sekolah perlu dipastikan berlaku pengudaraan yang baik seterusnya dapat mengurangkan risiko jangkitan, terutamanya Delta Varian ini,” jelas beliau.
Dalam lawatan itu beliau secara umum berpuas hati dengan persediaan yang dilakukan oleh pihak sekolah bukan sahaja terhadap kelas tetapi juga asrama untuk menerima kehadiran semula pelajar tidak lama lagi.
Beliau meminta pihak sekolah yang kini berada di Fasa 4 PPN iaitu Negeri Sembilan dan Labuan untuk turut membuat persediaan yang rapi.
“Memang kemasukan pertama ini untuk kelas peperiksaan tapi akan diikuti oleh murid-murid lain di sekolah rendah juga.
“Jadi, itulah yang kita tekankan supaya kita membuat persiapan dan persediaan lebih awal walaupun secara umumnya ketika sekolah di buka pada Fasa 4 ini yang hanya ke sekolah adalah murid peperiksaan bagi sekolah menengah.
“Tapi Kita juga akan menerima murid berkeperluan khas sebagai contoh dan juga murid prasekolah. Jadi secara keseluruhannya, seluruh ekosistem di negeri-negeri yang menggunakan ketetapan Fasa 4 ini perlu bersedia sepenuhnya sebelum sekolah dibuka,” katanya.-SM