Politik

Ada lagi pemimpin nak masuk PN: Kecik tapak tangan, nyiru PN tadahkan!

MALAYSIA sebuah negara yang demokrasi. Siapa-siapa sahaja bebas memilih untuk masuk mana-mana parti politik. Jika ditolak nama untuk masuk senarai bertanding, PN kan ada. Kecil tapak tangan, nyiru PN tadahkan.

Kalau ada pemimpin atau ahli UMNO misalnya nak sertai Perikatan Nasional (PN) rasanya tidak salah kerana PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin diterima rakyat sebagai sebuah coalition party atau parti gabungan yang stabil dan seimbang.

Stabil dan seimbang kerana tak banyak pergolakan, perebutan, tikam belakang dan segala isu yang boleh menggoyangkan parti pada pandangan mata kasar, itulah yang dimaksudkan dengan PN parti yang stabil dan seimbang.

PN tidak dapat menafikan bahawa mereka wujud sebagai parti baharu dan pada pilihan raya umum ini, inilah kali pertama PN bertanding melawan Barisan Nasional (BN) yang sudah sangat senior dalam sepak terajang permainan politik dan pentadbiran kerajaan.

Pakatan Harapan (PH) juga lebih tua usia penubuhannya berbanding PN dan sempatlah merasa jadi kerajaan 22 bulan!

Menganggotai PN menjelangnya hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok, Sabtu, Mursyidur Am PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, akan ada lagi individu yang cross over ke PN.

Kata Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN, ada lagi pemimpin BN yang sedang dipertimbangkan permohonan masuk PN.

Rasanya Tok Guru ada kurang daripada 24 jam nak timbang tara, setara mana nak timbang kalau dari awal lagi, pemimpin dari sebelah sana tidak puas hati dengan keputusan top gun parti!

Senasib dengan Datuk Seri Shahidan Kassim yang namanya ditolak BN untuk bedrtanding atas lambang dacing pada PRU15, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ismail Abdul Mutalib juga diumum akan mempertahankan Parlimen Maran sebagai calon PN.

Antara Pakatan Harapan (PH) dan PN, pemimpin yang nak buat cross over memilih PN dan pastinya ada banyak faktor atau sebab pilihan ini dibuat.

Di bawah PN, parti-parti yang bergabung ialah Bersatu, PAS dan Gerakan.

Ingat lagi bukan parti Gerakan yang suatu ketika dahulu dipimpin oleh Tan Sri Koh TSu Koon pernah menjadi parti coalition BN.

Hari ini Gerakan dipimpin oleh Datuk Seri Dominiq Lau dan duduk di bawah PN dan calon Gerakan yang bertanding di bawah PN pada PRU15, 19 November ini nanti mengguna simbol PN.

Parti-parti gabung juga mesti kuat, bukan sebagai passenger atau penumpang yang mengambil kesempatan mahu bertanding pada pilihan raya kerana mahu dilihat secara fizikal oleh ahli-ahli.

Kalau rekod pada pilihan raya umum lalu, masuk bertanding dan mendapat keputusan berputih mata, eloklah diperkemaskan lagi gerakan dan barisan parti gabungan yang berkenaan.

Bertanding nak menang, kalau bertanding nak kalah, baik tak payah bertanding kerana duit deposit pun hangus.

Sekarang ni, banyak sangat dah parti politik yang bukan sahaja mewakili satu-satu kaum tetapi campuran dengan peratusan yang kecil pun ada untuk meraih undi.

Kias-kias Tok Guru Hadi yang tak boleh nak sebut berapa kerusikah PN akan letak bekas pemimpin BN, boleh dibaca secara kasar.

Tetap bermain dengan teka teki, Hadi berkata, “Tak boleh sebut berapa kerusi. Yang penting ada di utara, ada di tengah, ada di selatan,” katanya dalam sidang media selepas Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15 di Rusila, malam tadi.

Ditanya mengenai pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau atas tiket PN, Hadi berkata, “Shahidan telah bersama PAS sejak di Parlimen dan beliau seorang yang berani mengkritik pimpinan UMNO.”

Senasib dengan Shahidan ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ismail Abdul Mutalib juga diumum akan mempertahankan kerusi Parlimen Maran sebagai calon PN.

Esok hari penamaan calon PRU15 dan ramai yang menunggu, apakah akan ada pusingan U atau U turn dalam menamakan calon-calon yang bakal bertanding.

Selepas penamaan calon esok, paluan gendang calon-calon untuk menyantuni para pengundi atau penduduk di kawasan bertanding akan bermula.

Calon yang mesra rakyat akan menjadi pilihan kerana letaklah calon ‘wali’ sekalipun, kalau tahunya duduk dalam bilik berhawa dingin, kerusi empuk, kalau berlaku bencana alam turun padang dengan bush jacket dan dipayungkan orang, alamatnya, SAYONARA.

Calon-calon muka baharu pula kalau selama ini langkah keluar dari pintu rumah, masuk kereta, pergi pejabat, balik pula apabila sampai di rumah, terus masuk dalam rumah, alamatnya PAYOH LAH!

Buat manifesto nanti bukan sekadar janji dan memanglah ia bukan kitab tetapi dengan adanya manifesto, kalau wakil rakyat yang menang dan dipilih tak buat kerja, kerja tak jalan, boleh aje ditempelak oleh para pengundi berdasarkan apa yang tertera dalam manifesto.

Maka berhati-hatilah semua calon dari semua parti yang akan bertanding PRU15. Jangan sampai rakyat memberi mandat, mandat dikhianati. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button