Politik

Ir. Ong Kean Sing galas cabaran PN di Parlimen Beruas

BERUAS 4 Nov. – Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon muda untuk menggalas tanggungjawab sebagai calon Parlimen Beruas pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus menampilkan wajah baharu.

Bagaimana pun, calon yang diletakkan bukan sebarangan kerana turut mempunyai pengalaman luas dalam politik dan gerak kerja sosial.

Ir. Ong Kean Sing, 43, merupakan Ketua Pemuda Gerakan negeri Perak dan juga Ahli Jawatankuasa Pemuda PN Kebangsaan.

Beliau lulusan Ijazah Sarjana Muda Jurisprudens dari Universiti Malaya, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Universiti Teknologi Malaysia) serta jurutera bertauliah.

Kean Sing memberitahu, pencalonan tersebut merupakan satu kepercayaan besar parti khususnya Gerakan yang bukanlah asing bagi para pengundi di Parlimen Beruas.

Beliau bagaimana pun mengakui Beruas merupakan kubu kuat DAP tetapi pada masa sama menolak andaian kawasan itu sukar dimenangi.

“Sebagai anak tempatan yang membesar di Beruas saya adalah sebahagian daripada pembangunan di sini.

“Tetapi entah kenapa tidak nampak kemajuan yang banyak di Beruas sepanjang DAP berkuasa sedangkan bandar-bandar lain sekitarnya maju,” ujarnya.

Selama lima penggal Parlimen Beruas dimenangi Gerakan di bawah Ahli Parlimennya, mendiang Tun Dr Lim Keng Yeik iaitu sejak 1986 hingga 2008 (PRU7 – PRU 11) yang ketika itu Presiden Gerakan.

Menurut Kean Sing, PRU15 adalah berlainan berbanding pilihan raya terdahulu apabila buat pertama kali menampilkan pengundi muda atau Undi 18.

Justeru katanya yang merupakan bekas Ahli Majlis Perbandaran Manjung, beliau percaya kelebihan boleh diperolehi pada parti politik yang menampilkan calon muda atau wajah baharu.

“Mana-mana parti politik yang mengetengahkan calon muda berpotensi menjadi pilihan pengundi muda pada pilihan raya umum akan datang.

“Pengundi muda dilihat menunjukkan sikap politik matang dengan memilih pe­mimpin yang mampu untuk menjalankan tugas dan tidak hanya bersikap taksub terhadap parti atau pemimpin,” ujarnya.

(Visited 874 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button