Dakwaan Ustaz Abu Syafiq bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan delegasi tidak mendapat suntikan vaksin COVID-19 atau vaksin Meningococcal Meningitis ketika mengerjakan ibadah umrah pada bulan Mac 2021 adalah tidak benar.
Menurut pegawai khas Tan Sri Muhyiddin, Mohd. Naaim Mahmod, mantan Perdana Menteri ke-8 dan semua delegasi telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 sebelum berangkat ke Arab Saudi dan menerima suntikan kedua vaksin sekembalinya ke tanah air, manakala Vaksin Meningococcal Meningitis tidak diwajibkan.
“Pada masa itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin Covid-19 atau vaksin lain untuk mana-mana pengembara yang ingin melakukan perjalanan ke Arab Saudi.
“Selain itu, lawatan kerja rasmi Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 ke Arab Saudi yang diadakan atas undangan kerajaan Arab Saudi tertakluk kepada SOP yang ketat termasuk melakukan ujian PCR sebelum, semasa dan selepas lawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd. Naaim berkata demikian menyangkal dakwaan Abu Syafiq yang mengenakan gelaran ‘ustaz’ mendakwa Muhyidin dan delegasi ke Arab Saudi tanpa sebarang vaksinasi.
Kata Mohd. Naaim lagi, hasil ujian PCR mendapati semua delegasi adalah negatif COVID-19.
“Pergerakan delegasi di Arab Saudi juga dikawal ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi di dalam suatu gelembung perjalanan yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan itu.
Dalam pada itu, pengguna Facebook, Syed Fauzi Al Qadri menegaskan orang yang suka membuat fitnah tiada tempat di negara ini.
“Harap ambil tindakan undang-undang kepada mereka yang suka mengadu domba.
“Golongan yang suka memfitnah tiada tempat di negara ini,” tulisnya.
Mohamad Zulhairi Ahmad Sabran pula mencadangkan saman dikenakan kepada pembuat fitnah.
“Saman beliau jika ia satu fitnah. Pengajaran untuk si pelaku,” tulisnya.