Acara

Abdul Halim Ali kekal terajui BUDIMAN, saran KPM buka kelas sastera

TANJUNG MALIM 5 April – Ahli Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN) dengan sebulat suara memilih untuk mengekalkan barisan ahli jawatan kuasa yang sedia ada untuk dilantik semula bagi sesi 2025/2026.

Justeru, presidennya Abdul Halim Ali masih kekal menerajui BUDIMAN bersama semua ahli jawatan kuasa untuk meneruskan tugas melaksanakan program-program menarik mengikut perancangan sebelum ini.

Sempena Mesyuarat Agung yang diadakan pada 18 Mac lalu Dewan Sri Tanjung, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Abdul Halim berkata sempena mesyuarat berkenaan, terdapat usul ahli yang membangkitkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi perhatian serius terhadap fenomena penutupan kelas-kelas subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) yang berleluasa berlaku di sekolah.

“BUDIMAN menyeru  pihak Menteri Pendidikan dan kepimpinan KPM mengambil inisiatif untuk menyelamatkan subjek KMK berikutan berupaya membantu membentuk akhlak dan keperibadian pelajar  demi kemenjadian mereka dalam membina kecemerlangan akademik dan sahsiah,” katanya.

Prof Dr Azhar Wahid memegang jawatan Timbalan Presiden; Dr Amalina  (Bendahari); YM Raja Ahmad Shalaby Raja Hassan (Setiausaha), manakala ahli jawatan kuasa terdiri daripada Prof Dr Ahmad Jazimin, Dr Mohd Azam Sulong, Dr Ghazali Din, Prof Madya Dr Ariff Mohamad,  Dr Farra Humairah Mohd,serta  Dr Abang Patdeli Abang Muhi.      

Sebelum mesyuarat diadakan majlis Diskusi Karya oleh panel Prof Madya Dr Ghazali Din dan Dr Abang Patdeli Abang Muhi yang membicarakan buku Prof Dr Azhar Wahid iaitu “Worldview dan Hegemoni Dalam Kesusasteraan Melayu” diikuti majlis berbuka puasa yang dihadiri ahli BUDIMAN bersama keluarga masing-masing.

Menurut Abdul Halim, BUDIMAN juga merancang menganjurkan Seminar Pemikiran Datuk Jasni Matlani, penulis prolifik yang dinobatkan penerima Anugerah Sastera Sabah dan SEA Write Award (2015) selain menjadi Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA).

Beliau berkata BUDIMAN aktif menganjurkan persidangan peringkat antarabangsa selain menerbitkan jurnal berwasit, RUMPUN.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button