Keputusan cemerlang SPM hadiah buat ibu penghidap kanser tahap empat
KEJAYAAN cemerlang seorang anak yang memperoleh 9A dan 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 merupakan hadiah terindah buat seorang ibu yang juga pesakit kanser perut tahap empat.
Siti Khajura Badros, 49, berkata, dia bangga dengan kejayaan Muhammad Shamil Aiman Norsham, 18, meskipun tidak dapat berada kerap di sisi anaknya kerana masalah kesihatan.
Menurut Siti Khajura, kesusahan hidup yang dihadapi sedikit pun tidak mematahkan semangat anak lelaki sulungnya itu untuk terus belajar demi merubah masa depan keluarga.
“Mula-mula saya disahkan kanser rahim. Selepas saya menjalani rawatan susulan, disahkan menghidap kanser perut pula,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Beliau akui, masanya banyak dihabiskan untuk berulang-alik ke Hospital Seremban, Negeri Sembilan dan Putrajaya.
“Saya tiada di sisi dia ketika hendak menghadapi peperiksaan. Saya kekal positif dan kuat untuk anak-anak. Alhamdulillah anak saya berjaya buktikan yang dia mampu mencatatkan keputusan baik meskipun diuji pelbagai dugaan,” ujarnya.
Katanya lagi, anaknya itu pergi ke sekolah dengan menumpang kenderaan jiran.
“Saya berpesan padanya, walaupun kita susah tetapi rezeki itu tetap ada dan kena belajar bersungguh-sungguh,” katanya dalam sidang akhbar keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai hari ini.
Sementara itu, Muhammad Shamil Aiman memberitahu, dia tidak menyangka akan mencatat keputusan cemerlang memandangkan dia hanya memperoleh 1A semasa peperiksaan percubaan.
Beliau berkata, kejayaan itu dibantu oleh komitmen guru yang sentiasa memberikan bantuan selain kerap mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan secara berkumpulan.
“Saya hanya belajar sendiri di rumah dan menumpukan perhatian ketika dalam kelas. Jika ada yang tidak faham, segera bertanya kepada guru.
“Alhamdulillah, keputusan baik ini adalah berkat usaha guru dan rakan serta doa keluarga. Dengan keputusan ini saya berharap dapat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada ibu dan adik-beradik yang lain,” katanya. – SM