200 sertai Kayuhan Sulong 2022 Basikal Klasik Bukit Rambai
JIKA ingin melihat basikal yang digunakan oleh posmen pada awal tahun 1960 bolehlah datang
untuk memeriahkan Kayuhan Sulong 2022 Basikal Klasik Bukit Rambai, Melaka pada 25 Jun ini, pukul 8.00 pagi.
Orang ramai juga turut berpeluang melihat dari dekat sebuah basikal klasik yang unik digunakan tentera udara British yang terjun bersama basikal model BSA Airborne berusia 80 tahun.
Selain model BSA Airborne pelbagai basikal klasik yang akan digunakan peserta pada kayuhan itu nanti ialah basikal posmen, Hercules, Raleigh, Norton, Triumph, Philips, Robin Hood dan Hooper.
Pengerusi program, Roslan Mohd. Salleh berkata, hampir 200 pemilik basikal klasik dari seluruh negara akan berhimpun bagi menyertai program Kayuhan Sulong 2022 Basikal Klasik Bukit Rambai Melaka itu nanti.
Menurutnya, kayuhan anjuran bersama Kelab Asamboi Bikers dan Kelab Basikal Klasik Bukit Rambai itu juga akan turut disertai pemilik basikal klasik dari Singapura, Thailand dan Indonesia.
Beliau berkata, perhimpunan itu dijangka menarik lebih ramai lagi pemilik basikal klasik khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai kelab tetapi ingin menyertai program tersebut nanti.
“Setakat ini, sebanyak 200 penyertaan daripada kelab-kelab seluruh negara tetapi saya jangka lebih ramai lagi pemilik basikal klasik akan datang dan mungkin akan mencecah sehingga 300 penyertaan.
“Tujuan kita anjurkan program ini adalah untuk memperkenalkan Melaka sebagai destinasi pelancongan dengan banyak kesan sejarah sejak zaman Portugis, Belanda dan Inggeris dalam kalangan pemilik basikal klasik.
“Laluan sepanjang 15 kilometer (km) akan dilalui peserta bermula dari Taman Rambai Utama, Klebang hingga ke Pulau Gadong dan di setiap tempat peserta akan singgah untuk melawat pelbagai kesan sejarah dan produk pelancongan yang ada di sini,” ujarnya di sini hari ini.
Roslan berkata, program itu juga juga bertujuan untuk mengeratkan ikatan sillaturahim dalam kalangan pemilik-pemilik basikal klasik dari seluruh negara.
Ujarnya, antara kelab-kelab yang telah mengesahkan penyertaan ialah Basikal Klasik Sri Manjung, Klang Classic Bicycle Club, Kelab Basikal Klasik Perlis, Kelab Basikal Tua GB Teluk Intan, Kelab Basikal Tua Kelantan, Kelab Basikal Klasik Penang, Basikal Klasik Terengganu dan Basikal Tua Kuala Pilah.
Menurutnya, pelbagai basikal klasik yang akan digunakan peserta antaranya paling popular ialah basikal posmen, Hercules, Raleigh, BSA Airborne, Norton, Triumph, Philips, Robin Hood dan Hooper.
Jelasnya, di samping program tersebut, satu pameran basikal dan motosikal klasik akan diadakan di tapak pelepasan di Taman Rambai Utama.
Tambahnya, peserta yang akan menyertai kayuhan tersebut adalah berusia antara 12 hingga 60 tahun.
Ujarnya, bagi pemilik basikal klasik yang tidak mempunyai mana-mana kelab boleh menyertai kayuhan tersebut dengan menghubungi Setiausaha program, Mohamad Arif Mohamad di talian 017-3994441. – SM Melaka