Nasionalpilihan

MARA bakal perluas kerjasama strategik dengan universiti tebaik dunia

MAJLIS Amanah Rakyat, MARA, merancang untuk memperluaskan kerjasama strategik bidang baharu bagi pengajian pelajar tajaannya ke luar negara.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, MARA menetapkan kerjasama strategik itu membabitkan universiti di luar negara yang berada di ranking terbaik dunia.

“Universiti ini adalah ranking yang ke-35 di seluruh dunia dan di United Kingdom ni adalah ranking yang kelima, di Eropah mereka ranking yang kelapan.

Jumlah keseluruhan pelajar di universiti ini adalah 40 ribu lebih pelajar di sini dan lebih 25 peratus adalah pelajar dari luar negara termasuk dari Malaysia.”

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media sempena lawatan kerja ke University of Manchester (UoM), United Kingdom di sini semalam.

Dalam lawatan itu, Mahdzir mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi UoM yang diketuai oleh Naib Presiden Pembelajaran, Pengajaran dan Hal Ehwal Pelajar, Profesor April McMohan.

Delegasi lawatan itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Dalam lawatan itu, Mahdzir dan delegasi turut mengadakan perbincangan dan bertukar pandangan berkaitan aspek pengajian bidang baharu yang boleh diteroka oleh pelajar tajaan MARA ke UoM.

Mahdzir juga dibawa meninjau bangunan baharu Fakulti Kejuruteraan UoM yang mempunyai kelengkapan dan peralatan pengajian moden dan terkini.

MARA ketika ini jelas Mahdzir, menghantar sebahagian besar pelajar tajaannya mengikuti pengajian bidang kejuruteraan di United Kingdom dan juga di 21 buah negara lain.

Setakat ini MARA mempunyai sejumlah 3,391 pelajar tajaannya di luar negara dengan jumlah paling ramai adalah di United Kingdom iaitu 1,422 pelajar.

“Kita dapat melihatlah bagaimana mereka telah memberi penerangan mengenai keupayaan pelajar-pelajar kita dari segi kualiti pelajar bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga dalam ko-kurikulum, mereka memuji pelajar-pelajar Malaysia dalam penyertaan NGO, ko-kurikulum dan juga pengajian akademik.”

Tambah Mahdzir, MARA membuat keputusan tepat memilih UoM sebagai destinasi pelajar tajaannya yang paling ramai di UK atas faktor ranking universiti, tenaga pengajar dan persekitaran kampus yang terbaik.

Antara kemudahan terbaik UoM adalah infrastruktur pembelajarannya iaitu perpustakaan yang memiliki koleksi 4 juta buah buku dan manuskrip bercetak, 800 ribu buku elektronik dan 500 ribu jurnal elektronik.

“MARA mempunyai pelajar yang ramai di universiti ini di kalangan universiti yang ada di United Kingdom. Kita ada lebih kurang 229 pelajar di kampus University of Manchester dan ini di bawah tajaan MARA”, kata Mahdzir. – SM

Artikel berkaitan:

KPLB serius kaji kadar elaun pelajar tajaan MARA luar negara

MARA taja 1,500 pelajar ke luar negara tahun ini

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button