Nasional

Doktor pelatih dibuli doktor pakar, mentor

KEMENTERIAN Kesihatan dilaporkan akan menubuhkan sebuah pasukan bertindak bebas bagi menyiasat kematian doktor pelatih. Pasukan yang sama juga akan menyiasat dakwaan budaya buli terhadap doktor pelatih di hospital.

Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai perubatan siswazah yang baharu ditempatkan di Hospital Pulau Pinang pada 4 April lalu, dipercayai terjatuh dari tingkat 23 pangsapuri disewanya di Jalan Datuk Keramat, George Town pada 17 April lalu.

Sementara itu, Exco Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, pihaknya ada menerima dua laporan doktor pelatih (HO) dibuli di dua hospital pada Mac dan April lalu.

“Seorang HO memberitahu menerima layanan tidak sepatutnya daripada doktor pakar yang melatihnya sehingga menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti kerana mengalami tekanan emosi.

“Seorang lagi HO mendakwa, doktor mentornya memberi penilaian tidak adil terhadap kerjanya yang dipercayai disebabkan isu komunikasi dan masalah peribadi antara mereka,” kata Veerapan seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan telah diminta menjalankan siasatan lanjut dan tindakan akan diambil jika benar dua HO itu dibuli.

Veerapan berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan ada lagi kes yang tidak dilaporkan.

“Mana-mana doktor pelatih yang merasakan mereka menjadi mangsa buli diminta membuat aduan kepada pihak sepatutnya supaya siasatan lanjut boleh dilakukan,” ujar beliau.

Katanya, tidak sepatutnya budaya buli wujud dalam bidang perubatan dan mengajar atau melatih bukan lesen untuk membuli.

“Mereka sepatutnya bersikap lebih profesional,” katanya sambil mencadangkan supaya satu badan bebas diwujudkan di setiap hospital bagi membuat penilaian terhadap HO dan sekali gus dapat mengelakkan konflik.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong mengesahkan kematian doktor pelatih berkenaan dan tidak menolak kemungkinan kes itu diklasifikasikan semula, sekiranya ada bukti terkini. – SM

(Visited 457 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button