Parlimen

Dia malu apa, dia bos

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menulis kepada kerajaan supaya diberi hadiah bernilai RM100 juta dan ia diluluskan tanpa dirujuk kepada Dewan Rakyat.

Dr. Mahathir berkata, bekas perdana menteri itu telah meminta dihadiahkan dua bidang tanah yang nilainya sangat tinggi.

Selepas itu, jelas Dr. Mahathir, Najib telah menulis surat kepada kerajaan sebanyak dua kali bagi meminta hadiah berkenaan dan akhirnya telah diluluskan oleh kerajaan.

“Saya tahu dan dengar, dan orang berkenaan tidak akan berbohong kepada saya,” katanya ketika diminta oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menjelaskan apakah surat itu ditulis setelah Najib didapati bersalah di mahkamah.

Mengulas perkara itu, Dr. Mahathir tidak dapat menentukan tarikhnya, tetapi yakin surat ditulis ketika Najib masih dibicarakan oleh mahkamah dan didapati bersalah.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir mengingatkan kerajaan supaya mengikut peraturan di dalam membuat keputusan dan bukannya melakukan sesuatu sewenang-wenangnya.

“Kita bercakap di dalam Dewan dan mengikut segala peraturan, tetapi dalam menguruskan pentadbiran negara kita tidak berbuat demikian.

“Saya berharap perkara ini tidak akan berulang pada masa hadapan,” kata beliau.

Dr. Mahathir juga mendedahkan terdapat badan-badan ditubuhkan tanpa mengikut lunas undang-undang dan diketuai oleh para pegawai yang gajinya terlalu besar sehingga terpaksa dirahsiakan.

Sedangkan, ujar beliau, terdapat peraturan yang menetapkan kaedah penubuhan sesebuah badan dan bukan sesuka hati.

Dr. Mahathir juga tidak dapat menerima orang yang telah didapati bersalah merompak wang negara, diberi hadiah begitu besar.

“Kita kenalah ada rasa malu, kini ada kelompok yang membawa nilai bahawa tidak perlu malu walaupun merompak dan berbogel di khalayak ramai.

“Jika fahaman ini terus dibiarkan saya bimbang nanti ahli parlimen akan berbogel di Parlimen tanpa rasa malu, fahaman ini juga akan merosakkan negara,” katanya.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button