Luar Negara

Kisah misteri Grady Stiles, bintang sarkas ‘Lobster Boy’ yang kejam

KISAH misteri Grady Stiles Jr, juga dikenali sebagai Lobster Boy, berpunca daripada kisah kehidupan dan kematian yang menarik perhatian orang ramai pada zamannya.

Grady Stiles dilahirkan di Pittsburgh, Pennsylvania pada tahun 1937, dengan keadaan perubatan yang jarang ditemui bersifat genetik dalam keluarganya, dipanggil sindrom ‘ectrodactyly’.

Lebih dikenali sebagai sindrom penyepit ketam, ectrodactyly ialah keadaan di mana jari tengah hilang dan jari-jari pada dua sisi yang lain bercantum.

Ini mengakibatkan tangan pemilik sindrom ini kelihatan seperti penyepit lobster.

Keadaan kaki juga kadang-kala boleh terjejas seperti yang dialami oleh Grady Stiles dan bapanya juga turut mengalami keadaan yang sama.

Oleh itu, bapanya mendapat idea untuk membuat pertunjukan sarkas dengan mengelilingi dunia dalam pertunjukkan sebagai Lobster Man untuk mencari duit bagi meneruskan hidup.

Bapanya tidak mengambil masa yang lama untuk ‘menunjukkan’ anaknya sebagai ‘Lobster Boy’ dan seterusnya menjadi objek sarkas keluarganya sejak berusia tujuh tahun.

Populariti Grady Stiles melonjak naik dalam sekelip mata dengan pertunjukkan sarkas itu dan dia membesar menjadi seseorang yang cukup kuat.

Walaupun tidak dapat berjalan, dia bergerak menggunakan kerusi roda dan juga belajar merangkak dengan anggota tubuhnya supaya dia dapat menguatkan bahagian atas badannya.

Sepanjang hidupnya di sarkas, dia bertemu dengan seorang gadis normal bernama Mary Teresa yang telah melarikan diri untuk menyertai sarkas itu ketika berumur 19 tahun dan jatuh cinta dengan Grady.

Kedua-duanya berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak dan dua daripadanya turut mewarisi sindrom ectrodactyly seperti Grady.

Seterusnya, mereka melakukan pertunjukkan sarkas itu sebagai ‘Lobster Family’ untuk beberapa waktu, akan tetapi kehidupan keluarga mereka menjadi teruk apabila Grady mula minum alkohol.

Sifat Grady Stiles bertukar menjadi seorang pemabuk yang ganas dan dia dilaporkan memukul isteri dan anak-anaknya selama bertahun-tahun.

Sehingga pada suatu malam tahun 1973, Grady bergaduh dengan Mary dan menolak Mary ke tanah dan mengeluarkan IUD daripada badan isterinya dengan hanya menggunakan tangannya.

Setelah kejadian itu, Mary menceraikan Grady Stiles dan dia dilaporkan berkahwin semula tetapi isteri keduanya turut menceraikannya.

Grady Stiles menjalani kehidupan dengan tenang walaupun masih ketagih alkohol.

Dia menjadi tumpuan semula pada tahun 1978 selepas tidak bersetuju akan perkahwinan anak perempuan sulungya kerana dia tidak menyukai kekasih anaknya itu.

Perselisihan ini telah menyebabkan kematian tunang anak perempuanya selepas Grady menembak lelaki itu sehari sebelum perkahwinan mereka.

Grady terlepas daripada hukuman atas pembunuhan itu dengan hanya dijatuhkan hukuman percubaan selama 15 tahun pada tahun 1979.

Mahkamah membuat keputusan dengan tidak membenarkannya menerima rawatan perubatan yang mencukupi semasa di penjara kerana dia menderita penyakit sirosis hati dan emfisema, selain sindrom ectrodactyly itu.

Terlepas daripada hukuman penjara membuatkannya menjadi semakin angkuh dan dia dilaporkan memberitahu orang lain bahawa dia boleh membunuh sesiapa sahaja tanpa dihukum kerana dia sudah melakukannya dan terlepas.

Perkara itu memberi kesan besar kepada Mary yang dikahwini semula oleh Grady secara misteri pada tahun 1989.

Tabiat minumnya semakin teruk, ditambah lagi dengan perasaan angkuhnya yang telah dapat melarikan daripada pembunuhan, menjadikan Grady semakin kejam terhadap Mary.

Pada tahun 1992, Mary memutuskan bahawa dia sudah muak dengan perangai dan seksaan daripada Grady lalu mengupah jirannya, Chris Wyant sebanyak $1,500 dollar As untuk membunuh suaminya.

Wyant kemudiannya menembak Grady di kepala semasa dia sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya di Florida.

Wyant didapati bersalah dan kerana mempunyai nasib yang berbeza dengan Grady, Wyant dijatuhkan hukuman penjara selama 27 tahun atas kesalahan membunuh manakala Mary turut dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun.

Penerimaan orang ramai terhadap berita kematian Lobster Boy itu adalah bercampur-baur kerana ada yang membandingkan Grady dengan syaitan dan ada juga yang menghormatinya sebagai ahli perniagaan yang bijak di samping menjadi penghibur di sarkas.

Semasa perbicaraan, Mary Stiles memberitahu hakim bahawa Grady mempunyai niat untuk membunuh keluarganya dan dia percaya perkara itu akan betul-betul berlaku.

“Saya minta maaf pembunuhan ini berlaku, tetapi keluarga saya selamat sekarang,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button