Rencah Hidup

Tiga jam jadi ‘bangau’ baharu dapat satu pelanggan

ISTILAH ‘bangau’ lazim digunakan oleh pemancing-pemancing tegar yang menunggu ikan, kalau sudah terlalu lama menunggu maka jadi ‘bangau’ namanya.

Tetapi ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)2.0 ini ‘jadi bangau’ juga boleh berlaku di darat khususnya dalam kalangan peniaga.

Masakan tidak jadi ‘bangau’ kalau operasi perniagaan dibenarkan tetapi tiada pelanggan yang datang berkunjung, apatah lagi hendak memberi barangan.

Malah, ada peniaga yang mengaku terpaksa menunggu berjam-jam lamanya untuk menerima seorang pelanggan.

“Dua atau tiga jam baharu dapat seorang pelanggan, memang macam itulah keadaannya sekarang ini.

“Itu kalau hari Sabtu (hujung minggu pertama PKP) kalau hari biasa sejak Rabu lepas, lagi kurang pelanggan.

“Kalau keadaan sebegini berterusan, memang seminggu sahajalah saya dapat bertahan berniaga macam ini hendak bayar sewa sebulan pun tak lepas.”

Demikian kata Ajer Mohd., 25, salah seorang peniaga kedai makanan ringan yang ditemui wartawan dan jurukamera Suara Merdeka dalam tinjauan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur hari ini.

Jalan TAR dikenali umum sebagai syurga beli belah buat penduduk ibu kota dan meriah dengan pelbagai aktiviti seperti busking pada hujung minggu.

Namun, pada hujung minggu ini kedai-kedai dibuka tetapi apalah maknanya jika tiada pengunjung, akhirnya peniaga mengeluh ‘lebih baik ditutup sahaja’.

Kata sorang lagi peniaga, Norhizan Saad, 45, ketika tempoh PKP adalah saat paling dirasai kesannya dan tidak sangka pernah dilaluinya sekali pada tahun lalu, namun perlu melaluinya sekali lagi.

“Tak tahulah hendak cakap macam mana, ada pelanggan pun sehari itu paling ramai pun yang datang adalah dalam lima orang, tetapi belum tentu beli.

“Bila jadi macam ini, memang harap ada suntikan atau bantuan daripada kerajaan untuk bantu peniaga-peniaga kecil seperti kami,” luahnya.

Sementara itu, Syah Fitri, 35, yang berniaga menjual barangan keperluan harian memaklumkan situasi sekarang lebih teruk berbanding PKP pada Mac tahun lalu.

“Ini merupakan hari pertama saya buka gerai sejak PKP bermula pada Rabu lalu. Tak boleh bayangkan keadaan hari biasa kalau hari Sabtu pun sudah macam ini.

“Saya dapat rasakan PKP kali ini kekurangan pelanggan lebih buruk berbanding tahun lalu. Saya harap masalah ini (PKP) tidak akan dilanjutkan terlalu lama,” harapnya.

Sepanjang tinjauan wartawan Suara Merdeka di sini, keadaan di sekitar Jalan TAR, Chow Kit, Medan Tuanku dan Masjid India memang lengang.

Kedai-kedai dibuka tetapi lebih ramai pekerja berbanding pengunjung, maka wajarlah peniaga mengeluh ketika penguatkuasaan PKP ini.

Sebagai makluman, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pelaksanaan PKP2.0 sejak 13 Januari lalu sehinggalah 26 Januari nanti. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button