Politik

Mengapa tidak ditanya Zahid sendiri?

DATUK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hanya mahu dibicarakan dengan adil dan mendapat liputan yang adil bagi membersihkan namanya.

Jika terbukti tuduhan yang dihadapinya lebih bermotifkan politik, wajarlah ia digugurkan sebagaimana yang berlaku di zaman pemerintah Pakatan Harapan (PH).

Dan jika terbukti beliau bersalah jadi wajarlah Zahid berdepan dengan hukuman yang setimpal.

Masalah yang berlaku kini liputan berita sahaja tidak pernah adil. Semuanya dipetik sebahagian dan diputar belit bagi menggambar Presiden UMNO itu bersalah dan kotor sehingga banyak ahli partinya sendiri terpengaruh dengan laporan portal-portal berita yang tidak pernah berniat baik dengan parti berkenaan.

Segala helah digunakan termasuk meletakkan tajuk lain seolah-olah Zahid bersalah dan bekerjasama dengan samseng, tetapi isi berita adalah lain tetapi diletak bahagian kategori berbayar.

Kebanyakannya hanya membaca tajuk dan membuat kesimpulan, kerena mereka tidak mahu membayar dan ini dapat dilihat daripada komen-komen dilontarkan.

Itu sahaja telah merosakkan nama Zahid. Ibaratnya Zahid boleh menang di mahkamah, tetapi akan kalah di mata masyarakat.

Hari ini Mingguan Malaysia pula menemubual Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan telah dipetik oleh portal berita Malaysiakini.

Petikan berita diambil bagi menunjukkan Zahid hanya mementingkan diri dan mahu menyelamatkan diri sendiri bukannya parti dan rakyat keseluruhannya.

Memang Zahid berjuang membebaskan daripada tuduhan tersebut dengan menyediakan pasukan peguam bela dan kini di peringkat soal balas ke atas saksi saksi oleh pasukan peguam tertuduh.

Jika sesiapa yang mengikuti perbicaraan melalui saluran berita yang betul akan terasa aneh kerana setiap saksi pendakwaan berjaya dipatahkan oleh pihak pembela setakat ini.

Oleh itu Zahid hanya memerlukan perbicaraan yang adil dan bersih, tanpa perlu campur tangan orang politik untuk membersihkan namanya.

Sepatutnya Mingguan Malaysia bertanya sendiri kepada yang tuan ampunya diri dan bukan menemubual pihak lain membicarakan kes membabitkan Zahid.

Sejak bila Zahid menjadi tidak mesra dengan media terutama Mingguan Malaysia yang sebahagian besar dikenali dan mengenali beliau.

Temubual itu hanya menimbulkan prejudis seolah-olah Zahid tidak yakin dibebaskan dan mahu menggunakan pengaruh politik untuk menekan pihak kehakiman dan perundangan. Laporan ini sangat tidak beretika dan prejudis.

Media arus perdana sendiri gagal membebaskan diri daripada pengaruh pemikiran yang ditebar oleh portal berita yang berat sebelah, apatah lagi masyarakat secara umum.

Untuk berlaku adil media berkenaan perlu menghantar kakitangannya setiap kali perbicaraan berjalan dan bukan membuat andaian daripada membaca portal yang sudah jelas hala tujunya itu.

Jangan jadi burung kakak tua yang hanya mengulangi apa yang dikatakan oleh orang lain tanpa memahami dan menggunakan akal.

Yang dikecewakan oleh Zahid bukan soal kes mahkamah beliau, tetapi sikap pemimpin Bersatu yang berterusan menekan pemimpin UMNO dengan pelbagai cara, walaupun mereka berada di dalam saf yang sama.

Lebih jahat lagi semasa pilihan raya negeri di Sabah, calon UMNO terpaksa berdepan dengan deretan calon Bebas yang ditaja oleh Bersatu.

Parti Bersatu bertindak lebih sudu dari bubur, sedangkan parti mereka mempunyai jumlah kerusi yang kecil, tetapi mahu membolot segala-galanya.

Ini menimbulkan keresahan kepada 3 juta ahli UMNO di peringkat akar umbi yang mahukan UMNO keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan hanya kekal bersama Pas di dalam Muafakat Nasional (MN).

Bahkan semakin kuat desakan supaya UMNO bergerak solo setelah Pas menjadi ‘lembu kenyang’ (memetik kata-kata Khalid Samad) dan mengiyakan sahaja apa yang dikatakan oleh pemimpin Bersatu setelah memperolehi segala apa yang dimahukan.

Sebagai Presiden, Zahid harus melakukan pertimbangan yang terbaik dan tidak boleh terbawa-bawa dengan sentimen marah ahli di akar umbi semata-mata kelak akan membinasakan parti itu sendiri.

Jadi jika tidak tahu bertanyalah kepada sumber yang benar dan bukan membuat andaian, kecuali memang dari awal penulis memang berniat kurang baik. – SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button