EkonomiNasional

Penggiat pelancongan P. Pinang gerak seiring Penjana

PEMAIN sektor pelancongan Pulau Pinang menawarkan maklum balas dengan harapan dapat terus membantu pemain utama industri itu.

Ia dilakukan ketika industri pelancongan mengalu-alukan usaha kerajaan membantu sektor berkenaan dengan menampilkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Pulau Pinang Khoo Boo Lim berkata satu mesyuarat telah diadakan antara MAH, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) dan Kementerian Kewangan bagi membincangkan cadangan-cadangan yang terdapat dalam Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF), yang bernilai RM1 bilion, baru-baru ini.

Beliau berkata beberapa cadangan yang diperkenalkan oleh kemudahan PTF adalah tepat, dan pada masa yang sama turut membuka ruang kepada sebarang cadangan dan penambahbaikan.

“Salah satu maklum balas penting adalah keperluan bantuan bagi pekerjaan dan para pekerja (di hotel) yang merupakan salah satu isu utama, yang kami harap dapat bantuan dari kerajaan Persekutuan,” katanya dalam persidangan media di sini hari ini.

Sementara itu merujuk kepada aspek pelancongan di Pulau Pinang, Khoo berkata tempahan bilik hotel di Pulau Pinang menyaksikan peningkatan ketara sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kita ada kira-kira 60 peratus tempahan bilik hotel di sekitar kawasan pantai Pulau Pinang semasa hujung minggu, manakala kawasan bandar raya mencatatkan tempahan sekitar 30 peratus,” katanya.

Beliau menambah Pulau Pinang akan terus meningkatkan promosi pelancongan dalam usaha memacu pelancongan domestik dalam negara.

Pengerusi Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP) Ch’ng Huck Theng turut mengakui bahawa Pulau Pinang menyaksikan pertumbuhan yang baik dalam pelancongan domestik sejak pelaksanaan PKPP, apabila kelonggaran perjalanan merentasi sempadan dalam negeri diberikan.

“Sejak hujung minggu lepas kita dapat saksikan pertumbuhan sekitar 50 peratus kehadiran pelancong luar dari Pulau Pinang yang datang ke sini,” katanya dalam persidangan media yang sama.

Beliau berkata rakyat Malaysia seharusnya mengambil peluang ini untuk melawat tempat-tempat menarik di Pulau Pinang susulan kelonggaran yang diberikan, di samping pakej-pakej menarik yang disediakan.

Sementara itu merujuk kepada bantuan PENJANA, katanya beliau berharap kerajaan persekutuan boleh memperkenalkan geran atau lain-lain bentuk insentif dalam kemudahan PTF bagi membantu pemain industri dalam sektor pelancongan.

“Dengan lebih banyak pinjaman diterima, lebih banyak kekangan (bagi pengusaha) untuk membayar balik pinjaman, terutama semasa sektor pelancongan menerima kesan hebat krisis,” katanya.

“Tanpa kehadiran pelancong asing ke dalam negara, kita hanya bergantung kepada pelancongan domestik, tapi kita bernasib baik kerana keadaan sudah menunjukkan tanda-tanda pemulihan (bagi industri pelancongan),” tambahnya.

Pada 5 Jun lepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan skim pembiayaan pelancongan PENJANA bernilai RM1 bilion, inisiatif transformasi pembiayaan untuk syarikat kecil dan sederhana yang terlibat dengan industri pelancongan negara. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button