Tenaga solar bantu masjid, surau jana pendapatan
PENYEDIAAN perkhidmatan tenaga solar di kawasan masjid dan surau mampu memberi pendapatan dari RM800 hingga ke RM1,000 sebulan.
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, masjid dan surau adalah satu institusi masyarakat setempat.
“Bila kerajaan mengumumkan dasar nak membuka perkhidmatan solar, saya mohon kuasa solar bagi surau dan masjid.
“Hasil tenaga solar itu akan dapat menampung kewangan masjid dan surau terutamanya melibatkan keperluan asas,” katanya
Beliau mengulas mengenai Projek Wakaf Solar yang diperkenalkan Gading Kencana Sdn. Bhd.
Menurutnya lagi, bila manfaat menerusi sistem ini dapat ditunjukkan kepada masyarakat, ia boleh diperluaskan lagi kepada badan-badan yang lain.
“Bila dah terbukti memberi faedah kepada masyrakat, dapatlah diluaskan lagi ke sekolah dan balai raya untuk digunakan dan manfaat itu dapat diperoleh bersama,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Gading Kencana, Datuk Guntor Tobeng berkata, projek tersebut dijalankan bersama 25 buah masjid dengan kerjasama dari Pusat Khidmat Ahli Parlimen Johor Bahru.
“Selain dari menjana pendapatan kepada masjid, tenaga solar juga membantu mengurangkan pelepasan gas rumah kaca ke udara dan membantu alam sekitar dilestarikan,” katanya.
Dalam pada itu, Imam Sura Al-Mubarak Kg. Bakar Batu, Mohd. Faez Mohd. Shah berkata, fungsi solar ini adalah untuk membekalkan tenaga kepada Tenaga Nasional Berhad.
“Kita akan dapat bayaran daripada tenaga yang kita bekalkan kepada TNB dan itu menjadi sumber tetap surau untuk menjalankan aktiviti dan menanggung perbelanjaan di surau,” jelasnya. – SM