Nasional

Meraikan ulang tahun ‘Utusan Melayu’ yang sudah tiada

JIKA masih lagi ‘bernyawa’ Utusan Melayu meraikan ulang tahun yang ke-81 hari ini (29 Mei). Dibangunkan hasil keringat dan air mata orang Melayu, ‘pemergiannya’ hanya ditangisi oleh kakitangan dan mereka yang pernah menabur bakti dengan institusi keramat orang Melayu itu.

Bersama linangan air mata para patugasnya, Utusan Melayu digulung secara rasmi pada Oktober 2019. Pada tarikg itu juga berakhirlah satu perjuangan syarikat akhbar yang diasaskan dan dimiliki oleh orang Melayu 100 peratus.

Di sini kami petik catatan yang pernah ditulis oleh bekas Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Md Nor,

Nukilan ini beliau tulis pada 29 Mei 2019 sempena ulang tahun ke-10 Utusan Melayu yang kami petik dari Facebook beliau.

Selamat ulang tahun yang ke-80. Pada hari ini, Isnin 29 Mei 1939, lahirlah akhbar Utusan Melayu, terbitan Utusan Melayu Press Limited yang ditubuhkan pada 18 Jun 1938. Inilah akhbar harian yang pertama diterbitkan dengan modal yang digembelingkan oleh orang Melayu. Semangat muafakat dan setiakawan menjadikan akhbar ini satu kenyataan apabila diterbitkan di Singapura. Tahun lalu 29 Mei dipilih sebagai Hari Wartawan Nasional. Langkah itu satu penghormatan kepada Utusan. Bagaimana sambutan tahun ini?

Kini akhbar jawi Utusan Melayu itu hanya tinggal kenangan. Selepas berkubur berikutan kos tinggi yang tidak mampu ditampung oleh hasil jualan dan iklan, Utusan Melayu diterbitkan seminggu sekali atas nama Utusan Melayu Mingguan. Kini edisi tulisan jawi ini bertahan melalui atas talian. Namun Utusan Melayu atas nama syarikat terus hidup melalui akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad. Utusan Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-52 pada 1 September ini. Mingguan Malaysia pula diterbitkan mulai 30 Ogos 1964 sementara Kosmo diterbitkan pada 30 Ogos 2004.

Utusan Melayu hanya nama syarikat ketika syarikat itu terus dibelenggu pelbagai masalah untuk meneruskan hayatnya. Perubahan masa dan perkembangan teknologi seperti blog, Facebook, Twitter, WhatsApp dan Instagram menyebabkan edisi cetak semakin terjejas. Semua ini mencabar kedudukan akhbar itu. Tidak banyak yang boleh dilakukan untuk melonjakkan semula Utusan Malaysia yang pernah bergelar akhbar No. 1 negara. Tugas itu bukan mudah kerana ia memerlukan bukan sahaja sokongan pembaca tetapi juga pihak lain di luar sana khususnya pengiklan.

Utusan Melayu dan sejarah kemerdekaan negara tidak dapat dipisahkan.

Sudah letih mendengar cerita sokongan pelbagai pihak tetapi hakikatnya bagai hilang ditiup angin. Lihat sahaja akhbar Utusan Melayu. Bayangkan jika setiap keluarga Melayu ketika itu membeli senaskhah, hayatnya mungkin lebih panjang. Apabila dimatikan maka timbul rasa kesal dan sungutan tetapi semasa hayat Utusan Melayu, apa yang dilakukan? Begitu juga dengan Utusan Malaysia. Adakah pihak-pihak berkenaan hanya sekadar menyokong? Menyelak Utusan Malaysia hari ini, terasa amat kecewa, apabila tidak ada iklan ucapan tahniah sempena ulang tahun Utusan. Tidak pasti sama ada ia disengajakan untuk tidak menerima ucapan atau sebaliknya. Di mana silapnya? Sebagai bekas pekerja, saya tidak layak menjawabnya.

Kini media cetak mula beralih kepada akhbar dalam talian yang masih mencari rentak untuk meyakinkan masyarakat terutama pengiklan. Berdasarkan situasi semasa, pengiklan pula mendapat ruang lebih luas mengiklankan produk mereka melalui atas talian yang turut dipengaruhi faktor harga. Kesannya dirasai semua syarikat media dan memaksa mereka melakukan promosi seperti tawaran dua atau tiga dalam satu iaitu iklan melalui media cetak, media elektronik atau online serta billboard dan yang seumpama dengannya.

Utusan Melayu @ Utusan Malaysia selepas pilihan raya umum (PRU) lalu berhadapan dengan cabaran yang amat berat. Keputusan PRU itu menyebabkan Utusan distruktur semula. Lebih 700 pekerjanya, sebahagian besar memilih menerima tawaran skim pemisahan sukarela (VSS). Keputusan yang amat berat itu bagi meneruskan kelangsungan syarikat. Dikuasai UMNO semasa era Perikatan kemudian Barisan Nasional (BN), kini Utusan Melayu ‘dibebaskan’ ketika era Pakatan Harapan (PH). UMNO melepaskan kepentingannya. Majoriti saham kini dikuasai oleh Syarikat Opulence Asia Sdn. Bhd. milik penuh bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir (DASF).

Transaksi pembelian saham Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) berjaya dilakukan dengan jumlah dagangan sebanyak 31.6 peratus daripada UMNO. Abd. Aziz yang juga Pengerusi Eksekutif Utusan merupakan pemegang saham terbesar setelah membeli 35 juta unit saham yang melibatkan kos keseluruhan RM6.65 juta. Walaupun pembelian dilakukan tetapi Utusan terus menghadapi kesukaran untuk membiayai kos VSS serta gaji kakitangan yang masih setia bersama Utusan. Memang satu berita gembira kepada kakitangan yang mendapat kenaikan gaji tetapi pada masa yang sama gaji mereka terjejas.

JENAMA yang menjadi kebanggaan orang Melayu dan membantu perjuangan orang Melayu kini terkubur sudah.

Begitu juga bagi kakitangan yang mengambil VSS amat terasa kesannya apabila jadual pembayaran terbabas. Perkara ini bukan rahsia lagi. Tekanan peserta VSS ini juga amat besar kerana mereka hilang pekerjaan dan terpaksa melakukan usaha sendiri untuk terus hidup. Entah sampai bila. Hutang bank atas pinjaman membeli rumah, pinjaman peribadi dan sebagainya menyebabkan ada peserta VSS menjadi ‘buruan’ institusi kewangan. Begitu juga potongan insurans dan lain-lain yang mungkin menyebabkan mereka hilang faedah yang ditawarkan apabila pembayaran terhenti.

Situasi ‘konfrontasi’ ini boleh menjejaskan hubungan serta menimbulkan suasana tidak harmoni. Lebih-lebih lagi ‘kemarahan dan kekecewaan’ itu diluahkan kepada khalayak. Dalam situasi hari ini, sokongan kakitangan dan bekas kakitangan amat penting. Strategi syarikat juga penting. Majikan iaitu syarikat, pekerja dan bekas pekerja perlu lebih memahami antara satu sama lain. Jika tidak, musuh di luar terutama yang sudah lama mengharapkan ‘pemergian’ Utusan akan terus memainkan jarum mereka untuk melenyapkan Utusan.

Rasanya tidak ada dalam kalangan bekas pekerja Utusan yang mendoakan kehancuran Utusan. Setiap orang yang pernah bersama Utusan ingin melihat Utusan bangkit semula. Mereka tidak boleh melupakan budi dan jasa Utusan walaupun sumbangan mereka dibayar gaji oleh majikan. Ramai juga anak, cucu, menantu bekas pekerja Utusan yang bekerja dengan Utusan. Maka ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa juga. Justeru tidak wajar bekas pekerja tidak menyokong Utusan.

Apa yang penting di samping semangat dan kerjasama, Utusan perlu berubah dengan mengambil pendekatan baharu yang mungkin sedang dirancang atau dilakukan. Dunia sudah berubah. Penstrukturan dan penjenamaan semula itu penting tetapi perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati supaya tidak ada pihak yang rugi. Perubahan yang dilakukan perlu meyakinkan pembaca atau masyarakat supaya mereka boleh kembali menyokong Utusan. Pembaharuan tidak akan ke mana jika tidak disokong oleh pihak luar.

Begitu juga jasa Utusan kepada pemimpin politik yang akhirnya berjaya sebagai pemimpin negara. Mereka pernah mendapat faedah hasil penulisan Utusan. Dalam erti kata kain Utusan pernah berjasa kepada mereka. Adakah dalam kepayahan ini, mereka sekadar menjadi penonton dan menyatakan sokongan tanpa tindakan untuk membantu? Walaupun berlainan fahaman politik, Utusan tetap berjasa kepada mereka. Kenanglah jasa Utusan. Selamat ulang tahun kelahiran Utusan Melayu. Semoga warga kerjanya terus yakin, tabah dan menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi dalam mengharungi kepayahan ini. Semoga Allah SWT melindungi Utusan.

Pesan Usman Awang, Api ini tidak pernah padam
“Utusan Melayu
Wajah dan lenggangmu boleh berubah
Suara dan nadamu terkocak gundah
Namun jiwa mu tetap tidak mungkir
Untuk agama bangsa dan tanah air”

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button