Politik

Antara Bangsa Johor Ir Hasni dan pengorbanan besar Bersatu

KOMENTAR

PERINGATAN Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Solihan Badri baru-baru ini bahawa parti lain yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan itu harus mendapat perhatian serius Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad dari UMNO.

PN khususnya BN yang diketuai UMNO perlu sedar hakikat kerajaan negeri dibentuk bersama pengorbanan Bersatu. Ya! penyertaan Bersatu.

Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Hasni perlu realistik. Ini terutama menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual 14 Mei depan.

Ini memandangkan Mohd Solihan membawa suara akar umbi Bersatu yang mempunyai 11 ADUN. Apatah lagi yang lebih penting, kuasa Melayu perlu kekal di Johor.

Apa-apa sahaja boleh berlaku pada 14 Mei nanti – seperti mana lontaran bekas Setiausaha Pemuda PH Johor, Azam Mektar kelmarin dalam sebuah portal yang diberi tajuk “Rekod MB terpendek Johor boleh pecah lagi?

bersatu

3 MB TEMPOH KURANG 3 TAHUN

Hasni yang juga ADUN Benut mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-18 di Istana Bukit Serene pada 28 Februari lalu selepas memperoleh majoriti mudah iaitu 29 ADUN menyokongnya manakala PH pula hanya meraih sokongan 27 ADUN.

Untuk rekod, bekas Menteri Besar Johor dari Bersatu, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga ADUN Bukit Kepong menduduki tampuk pentadbiran negeri selama 10 bulan bermula 14 April 2019.

Beliau sebelum itu menggantikan ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang dilantik jawatan tersebut pada 12 Mei 2018 dan mentadbir selama 11 bulan sehingga 9 April 2019.

Pelantikan Hasni menjadikan beliau Menteri Besar yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, 9 Mei 2018.

Maka, peringatan Mohd Solihan itu perlu dilihat secara adil oleh Menteri Besar supaya lebih tolerate kepada soal-soal pelantikan. Lebih utama lagi – jangan selesa.

KELEBIHAN SATU KERUSI

Ini kerana kelebihan satu kerusi sahaja ekoran lompat oleh ADUN Pemanis, Dr Chong Fat Full keluar dari PKR bukan suatu kekuatan. Apatah lagi Dr Chong adalah sekutu rapat Bersatu. Dikatakan dia dipujuk oleh pemimpin Bersatu menyertai PN, bukannya oleh UMNO.

Ini berbeza dengan insiden kejatuhan PH di Melaka tempoh hari apabila ADUN Rembia dari PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Pengkalan Batu dari DAP, Datuk Norhizam Hassan keluar parti dan melompat ke PN hasil pujukan UMNO.

Ekoran itu, Dr Chong bila-bila masa sahaja boleh swing back andai kata beliau mendapat signal dari pemimpin Bersatu. Kalau bukan daripada Osman, ia dikatakan akan datang dari Mazlan Bujang yang dianggap `warlord’ dan masih ‘berkiblatkan kuat’ Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk A Kadir Jasin dalam Bersatu.

Harus diingat, pada awal detik kejatuhan PH di Johor, Mazlan dan Osman difahamkan masih menunggu isyarat dari Bersatu Pusat. Mereka tidak ambil apa-apa usaha `lompat’.

Dr Sahruddin yang ketika itu menteri besar pula positif. Beliau mendengar kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika itu kedudukan kerusi masih seimbang 28-28.

bersatu

DR SAHRUDDIN ‘TERSENTAK’?

Difahamkan, orang-orang Dr Sahruddin lah yang memujuk Dr Chong. Ini berbeza dengan orang UMNO yang tertunggu-tunggu siapa nak lompat.

Pada masa sama, DAP dan Amanah kekal dengan prinsip mereka. Ketika itulah dikatakan UMNO terus umumkan membentuk kerajaan negeri walaupun orang politik meramalkan Dr Sahruddin mengekalkan jawatan Menteri Besar kerana beliau orang Muhyiddin.

Namun orang UMNO menggunakan alasan mereka lebih ramai iaitu 17 orang meliputi 14 ADUN UMNO, dua ADUN MIC dan seorang ADUN Pas. Ia berbanding Bersatu hanya ada 11 wakil.

Ada sumber mengandaikan ada usaha melobi UMNO daripada tiga pihak ini iaitu istana, pegawai-pegawai kerajaan negeri Johor termasuk pegawai daerah serta individu-individu berpengaruh di Johor dari kalangan ahli perniagaan. Wallahualam.

Menurut sumber kepada SUARA MERDEKA, dikatakan pada waktu pengumuman Hasni sebagai Menteri Besar, Dr Sahruddin tersentak dengan keputusan tersebut.

Dan dari sinilah bermula keretakan PN di Johor. Cuma, perancangan untuk menarik lebih ramai ADUN PH menyertai PN belum menjadi kenyataan setakat ini. Sama ada isu COVID-19 puncanya, Hasni masih tidak dapat menarik mereka, tidak seperti mana pimpinan Bersatu di Pusat yang `lebih agresif’.

SPEAKER DUN ORANG AMANAH

Di Johor, berdirinya kerajaan negeri sekarang atas satu majoriti cukup berisiko. Tambahan lagi, Speaker DUN negeri ialah Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kayat. Jadi, kalau ia berterusan, hayat Hasni sebagai MB mungkin lebih singkat dari Dr Sahruddin.

Seperkara lagi, UMNO Johor harus beringat kesepakatan PH di Johor sebelum ini. Ketika Bersatu menduduki jawatan Menteri Besar oleh Osman, parti itu kurang satu kerusi berbanding sembilan Amanah, Namun PH berpegang kepada konsensus sebelum PRU-14 yang mana di Johor disepakati diketuai Bersatu; PKR di Selangor dan Perak jawatan Menteri Besarnya dari Bersatu meskipun cuma memiliki dua kerusi.

Begitu juga Di Melaka. Walaupun hanya meraih satu kerusi, Amanah menerusi Adly Zahari dilantik Ketua Menteri. PH mempunyai 15 ADUN di Melaka yang terdiri daripada lapan wakil DAP, tiga wakil PKR serta satu dari Bersatu selain kerusi milik Adly.

Sebab itu di Johor pada awal pembentukan kerajaan negeri termasuk kali kedua disandang Dr Sahruddin, Amanah yang diketuai timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Salahuddin Ayub langsung tidak menuntut jawatan Menteri Besar.

Sebagai balasan, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dilantik Exco. Demikian juga dari segi pengagihan jawatan ahli majlis dan exco, kalangan wakil PH tetap memperoleh peranan masing-masing. Contohnya, untuk jawatan ahli majlis, setiap parti dalam PH iaitu PKR, Bersatu, Amanah dan DAP masing-masing diberi enam kuota.

ADUN BERSATU MENDENGAR KATA

Rata-rata kebanyakan ADUN Bersatu di Johor mendengar kata bosnya, TS Muhyiddin. Mazlan yang juga
ADUN Puteri Wangsa dan Pengerusi Bersatu negeri dikatakan orang yang terakhir bersetuju pembentukan gabungan PN. Tidak termasuk Osman setelah `terpelanting’ keluar.

Dengan Speaker DUN orang Amanah, diandaikan ada sebarang `usaha’ dalam sidang nanti, speaker barangkali tidak akan berpihak.

Kalau ada pun undi tidak percaya terhadap Hasni atau usaha untuk melanggar demokrasi, dengan kedudukan tipis satu kerusi dengan PH, maka PN sendiri harus pastikan setiap ADUN mereka berada dalam Dewan.

Harus diingatkan, TS Muhyiddin sendiri adalah ADUN dari Bukit Gambir. Kehadiran beliau harus tidak ada halangan sama ada dari segi tugas-tugas rasmi negara atau keuzuran.

Tambah lagi, Hasni, menurut sumber, lebih rapat dengan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein walaupun kelihatan beliau orang TS Muhyiddin. Ketika Hishammuddin menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pusat, Hasni adalah Ketua Pemuda Johor.

bersatu
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin

TS MUHYIDDIN PENENTU SURVIVAL PN?

TS Muhyiddin barangkali masih `terasa hati’ dengan Hasni yang semasa pemecatan beliau dari UMNO pada 24 Jun 2016, menteri besar itu tidak mengikut beliau. Di sebalik itu pula, semasa UMNO tidak berkuasa di Johor selepas 9 Mei 2018, Hishammuddin banyak membantu UMNO negeri.

Dan kalau diberi pilihan untuk menentukan survival PN di Negeri Ujung Tanah ini, sudah tentu jawapan ada pada TS Muhyiddin. Perdana Menteri adalah penentunya.

Dalam masa sama, UMNO Johor juga harus akur bahawa sikap dan demografi pengundi Melayu di Johor sudah berubah. Dahulu boleh dikatakan, Johor ini negeri yang selamat.

Tidak kira siapapun calonnya, kalau dia bertanding di Johor, calon tersebut akan pasti menang. Namun masa sudah bertukar. Itu bukan kelebihan UMNO lagi. Antara perubahannya, Johor kini hanya mempunyai 38 kawasan DUN majoriti Melayu pada 55% ke atas.

Di PRU-14 yang lalu, UMNO hanya memenangi 18 kerusi majoriti DUN Melayu, dan bakinya tewas. Johor juga mempunyai sembilan kerusi DUN campuran, dan hanya satu dimenangi pada PRU-14 lalu dengan hanya majoriti 2.3%. Pada masa sama, UMNO mempunyai kerusi kerusi DUN majoriti Cina tetapi kalah kesemuanya.

Dan Hasni tentu ingat, ketika BN Johor masih memiliki 17 ADUN UMNO dan dua ADUN MIC selepas PRU-14, budaya lompat katak masih lagi berlangsung, menyebabkan tiga ADUN UMNO telah terjun ke padang yang berlainan – menjadikan tinggal 14 ADUN UMNO, dua ADUN MIC dan seorang ADUN PAS.

Sekali lagi, Hasni jangan selesa. Selesaikan `keretakan’ kalau ada dalam PN mengikut budi bicara Bangsa Johor.

Hargailah pengorbanan besar Bersatu! – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button