Covid-19: Jangan menipu, kalau kami dijangkiti siapa akan rawat anda?
SEORANG doktor merayu kepada orang ramai yang datang ke hospital agar tidak menipu dan berbohong jika mereka merupakan pesakit Covid-19 yang diminta supaya dikuarantin di rumah atau merupakan contact dengan orang yang dijangkiti Covid-19.
Dr. Ahmad Mahyuddin Mohamad yang merupakan doktor di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah berkata, pesakit yang menipu hanya akan membahayakan kesihatan doktor yang merawat mereka.
Menurutnya, jika ramai doktor dijangkiti hanya kerana pesakit menipu ia akhirnya akan memberi kesan terhadap orang ramai apabila tiada lagi doktor yang akan merawat mereka.
“Buat rakyat Malaysia, jika anda ada contact dengan orang yang ada Covid-19, mengakulah. Bukannya kami tangkap anda pun kalau anda mengaku.
“Kalau anda dikuarantin, duduklah di rumah selama 14 hari. Tak perlu la travel atau keluar rumah. Kuarantin la betul-betul. Tak perlu ke hospital. Temujanji anda boleh ditunda. Kalau kami semua sakit, siapa yang akan rawat anda?” nasihat Dr. Ahmad Mahyuddin.
Nasihat itu dibuat beliau berdasarkan pengalamannya hari ini apabila ada pesakit yang sedang dikurantinkan di rumah datang ke hospital dengan tidak memakai topeng mulut dan hidung. Malah pesakit berkenaan menipu dengan menafikan dia dijangkiti Covid-19.
“Kakitangan kesihatan berkorban membahayakan nyawa, masa dan tenaga untuk anda. Anda pula langsung tidak peduli, selfish dan bodoh sombong.
“Hari ini kami ada pesakit yang sedang di kuarantin di rumah tapi datang temujanji ke klinik. Bila ditanya di dua stesen saringan langsung tidak mengaku. Bila dah sampai berdepan dengan doktor baru la beritahu. Dah la tak pakai topeng muka.
“Buat anggota kesihatan, jangan sesekali ambil risiko dan percayakan pesakit. Ada yang menipu. Yang nampak educated menipu. Yang nampak alim pun menipu juga,” kata Dr. Ahmad Mahyuddin.
Malah Dr. Ahmad Mahyuddin menegur segelintir orang awam yang datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan tetapi mencuri sanitiser.
“Anda tau, banyak sanitiser kami di hospital dicuri pesakit dan pelawat. Ini harta rakyat dan kerajaan. Bukannya milik peribadi anda!
“Adakah anda fikir sanitiser yang bukan hak anda akan melindungi anda drpd COVID19? Siap bangga tayang di sosial media lagi tu,” katanya.-SM