Kebakaran

[Kemaskini] Kebakaran saluran gas dipadam sepenuhnya, 305 mangsa diselamatkan

Berpunca daripada fenomena letupan wap cecair mengembang atau Boiling Liquid Expanding Vapor Explosion

KUALA LUMPUR – Kebakaran di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor berjaya dipadam sepenuhnya pukul 3.45 petang ini, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin menerusi catatan di Facebook berkata, 305 mangsa insiden kebakaran itu berjaya diselamatkan setakat jam 5 petang ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Selangor, Mohd Zaini Abu Hassan, berkata, daripada 112 mangsa itu, 63 orang dihantar ke Hospital Cyberjaya, Serdang dan Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut akibat melecur, masalah pernafasan serta luka.

“Baki 49 mangsa menerima rawatan awal di Kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya,” katanya dalam sidang media di Pusat Operasi Khas Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta polis di sini.

Beliau berkata, dua pusat pemindahan sementara dibuka di Masjid Nurul Iman dan Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa terjejas.

Menurutnya, tiada kematian dilaporkan setakat ini dan siasatan masih dijalankan.

Ketua Pengarah JBPM, Nor Hisham Mohammad, berkata pihak Petronas menutup empat injap utama saluran paip gas di Dengkil, Puchong, Batu Tiga dan Meru bagi melepaskan saki-baki gas asli mulai 8.46 pagi tadi.

Beliau berkata, pihak Petronas menjangkakan empat jam diperlukan bagi semua gas asli dilepaskan, api berkurangan dan seterusnya dipadamkan.

Menurutnya, jarak injap pertama dan keempat sejauh 32km, dengan injap terakhir ditutup 11.48 pagi tadi.

“Pihak bomba tidak mengalami masalah kekurangan air dalam operasi ini, tetapi memberi tumpuan pelepasan gas supaya kebakaran akan terpadam dengan sendirinya.”

Setakat 1.30 tengah hari tadi, katanya, tekanan gas di saluran paip terbakar ialah 8% berbanding 50% pagi tadi.

Beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai ahli keluarga di lokasi kejadian tampil memberi maklumat bagi memudahkan proses pemindahan.

“Kita akan mulakan pusingan kedua, iaitu memantau mangsa yang mungkin terperangkap dalam rumah dan elemen plastik serta karbon terbakar susulan kejadian itu bagi memudahkan pasukan masuk memadam kebakaran, sekiranya ada.”

Seorang lagi Tiktoker melaporkan bunyi kuat seperti jet pejuang mengejutkan penduduk sekitar. Kejadian kira-kira 8.30 pagi itu belum reda. Pasukan bomba dan penyelamat telah tiba di lokasi kejadian.

Seorang lagi melaporkan bahang api dapat dirasa sejauh kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian. Setakat ini bomba mengesahkan kejadian. Dalam satu lagi laporan beberapa orang mengalami melecur disambar api.

Menurut laporan itu sebaik membuka pintu api terus menyambar, menyebabkan melecur di muka. Mangsa diselamatkan oleh bomba. Mereka sekeluarga dilaporkan melecur dan rumah hangus terbakar dalam kejadian pukul 7 pagi ini.

PETRONAS UTAMA KESELAMATAN BEKALAN GAS DAN PENDUDUK

Sementara itu Petronas dalam Siaran Akhbar berkata, kejadian pada pukul 8.10 pagi melibatkan saluran paip utama berdekatan Puchong.

“Keselamatan masyarakat sekeliling, alam sekitar dan keselamatan bekalan gas kepada negara terus menjadi keutamaan kami.

“Stesen runcit PETRONAS di sekitar tidak terjejas. Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk menguruskan keadaan.

“Kami akan memberikan maklumat tambahan dalam masa terdekat kerana siasatan masih dijalankan,” kata kenyataan akhbar itu.

Seorang mangsa mengalami lecur yang teruk.

25 MANGSA MELECUR

BERNAMA melaporkan setakat jam 10.35 pagi, kira-kira 25 mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya, Selangor pagi ini menerima rawatan awal di sebuah kuil berhampiran lokasi kejadian.

Tinjauan Bernama di kawasan kuil berkenaan mendapati beberapa petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dilihat gigih berusaha memberikan rawatan awal kepada mangsa, yang kebanyakan mengalami luka, melecur dan kesukaran bernafas.

Difahamkan lima mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 8.10 pagi dan operasi pemadaman sedang dijalankan. Beliau berkata beberapa rumah turut terbakar dalam kejadian itu.

“Sakitnya hanya Tuhan yang tahu,” mangsa.

Sebahagian mangsa melecur akibat kebakaran ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Nurul Iman, Kampung Tengah di sini mengadu kesakitan dialami tidak dapat digambarkan.

Mangsa, Mohd Yusri Mohd Nasir, 36, turut menahan derita selepas melecur di bahagian belakang badan, tangan dan bahagian anggota badan lain.

“Sakitnya hanya Tuhan yang tahu,” ujarnya ringkas ketika ditemui Sinar Harian semasa tinjauan di Masjid Nurul Iman sebelum mangsa terbabit mendapatkan rawatan di masjid yang dijadikan sebagai PPS itu pada Selasa.

Bukan hanya Mohd Yusri tetapi beberapa mangsa lain yang cedera lebih parah ketika ditemui turut menzahirkan perkara sama namun perlu segera dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi juga mendapati bukan sahaja mangsa menanggung kesakitan tetapi membawa bersama dengan trauma emosional kerana ada dalam kalangan mereka kehilangan harta benda.

Menurut Ahmad Baharudin, 56, ruang tamu rumahnya musnah akibat kebakaran itu dan ahli keluarga lain turut mengalami kerugian yang besar.

Bagi mangsa di pusat rawatan sementara, selain rawatan perubatan, sokongan emosional dan semangat daripada sukarelawan, keluarga, serta komuniti menjadi sangat penting untuk membantu mereka mengatasi saat-saat sukar ini.

 

PENDUDUK DIPINDAH

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini dalam proses memindahkan penduduk setempat dari lokasi berhampiran kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya, Selangor.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kebakaran berkenaan yang melibatkan kebocoran saluran paip gas dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter, berlaku berhampiran kawasan perumahan awam.

“Setakat ini belum dapat dipastikan bilangan penduduk yang terlibat (dipindahkan),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media berasingan, JBPM Selangor memaklumkan bahawa walaupun pihak Petronas telah menutup injap (valve) saluran paip yang terbakar, namun kebakaran masih berterusan.

Menurut pengarahnya, Wan Md Razali Wan Ismail, jarak sebenar lokasi penutupan injap masih belum dikenal pasti manakala kebakaran turut menjejaskan beberapa buah rumah berhampiran, yang meningkatkan lagi risiko kepada penduduk.

Wan Md Razali berkata operasi memadamkan kebakaran dan penyelamatan penduduk itu membabitkan 78 pegawai dan anggota dari 11 balai bomba.

BUNYI BAGAI RATUSAN JET TEMPUR

HARIAN METRO melaporkan penduduk mendakwa mendengar seakan bunyi ratusan pesawat tempur di udara selain kediaman dihujani pasir.

Pesara perunding kewangan, Cherine Foo, 65, berkata, ketika kejadian, dia sedang menyediakan sarapan pagi sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat seakan ratusan pesawat tempur melintas rendah di udara.

Katanya, bunyi itu kemudian disusuli dengan gegaran sederhana yang menyebabkan dia terkejut dan tergamam.

“Saya tinggal seorang diri di rumah dan tiba-tiba terdengar bunyi yang amat bising dan rumah saya bergegar.

“Saya terus melihat di tingkap dan ternampak api sedang marak. Saya terus keluar dan pada waktu itu perkarangan rumah dihujani debu serta pasir,” katanya.

Cherine antara penduduk Taman Putra Avenue yang diarahkan pihak berkuasa meninggalkan kediaman masing-masing akibat kejadian kebakaran saluran paip gas LPG yang terletak di Jalan Putra Harmoni, Putra Height di sini.

Kediaman penduduk berkenaan terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kebakaran.

Sementara itu, S Sivam, 34, pula berkata dia bersama ayah dan datuknya sedang tidur di rumah ketika kejadian berlaku.

FOTO KREDIT: BERNAMA

DETIK CEMAS

Menceritakan detik cemas itu, pekerja peranti perubatan terbabit berkata, dia sekeluarga dikejutkan dengan bunyi kuat sebelum mereka diarahkan pihak berkuasa supaya segera meninggalkan rumah.

“Saya terdengar bunyi kuat, ingatkan hujan lebat tapi pelik sebab terasa bahang panas, saya ke luar rumah dan melihat api besar marak menjulang tinggi tidak jauh dari taman perumahan.

“Kemudian ada bunyi beberapa letupan kecil, selepas itu saya terus bawa ayah dan datuk keluar kerana bimbangkan keselamatan mereka,” katanya.

Sementara itu, penganalisis perniagaan, Chan Hok Mee, 48, yang lebih 10 tahun tinggal di kawasan berkenaan menyifatkan kejadian terbabit amat menakutkan.

“Saya mendengar bunyi bising seperti hujan lebat kemudian saya melihat orang ramai berlari meninggalkan kediaman masing-masing.

“Saya amat berharap pihak berkuasa dapat mengenal pasti dan menyiasat punca sebenar kebakaran sebab keadaan itu mencetuskan soal keselamatan penduduk sekitar,” katanya.

LARANGAN MENERBANGKAN DRONE

Dalam perkembangan sama, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dipetik Bernama memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menerbangkan dron di kawasan kebakaran saluran paip gas itu.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata pemantauan kualiti udara akan dijalankan susulan kebakaran saluran paip gas pagi tadi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, pula berkata beliau sudah menerima laporan bertulis daripada JBPM Selangor berhubung kejadian itu.

“Kami akan siasat apa yang berlaku sebenarnya. Saya sudah memberi arahan kepada JBPM,” katanya kepada FMT.

 

BAGAIKAN GEMPA BUMI

Gegaran seperti gempa bumi – itu yang dirasakan penduduk setempat susulan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya, Selangor pagi ini.

Seorang mangsa Tan Jia Shin, 17, berkata ketika kejadian beliau bersama ibunya yang sarat mengandung dan bapa serta dua adik beradiknya berada di dalam rumah, merasakan gegaran kuat kira-kira 8 pagi.

“Kami semua bergegas keluar dan melihat api sedang marak, lokasi kejadian itu cuma dua lorong daripada rumah kami.

“Ketika itu kami hanya fikir keselamatan ibu yang mengandung, kami keluar dari rumah tanpa membawa apa-apa termasuk kereta, dengan bantuan pihak bomba,” katanya ketika ditemui Bernama.

Seorang mangsa yang cedera di kaki kiri akibat melecur, Lee Weng Ken, 42, berkata beliau terkejut melihat siling rumahnya terjatuh dan menghempap kenderaan miliknya di perkarangan rumah dalam kejadian pagi ini.

“Saya terus keluar dari rumah namun saya terjatuh dan cedera akibat haba daripada kebakaran yang berlaku berhampiran rumah,” katanya.

Sementara itu seorang lagi mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Andy, 52, berkata rumahnya terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kebakaran.

Semasa kejadian, beliau bersama dua anaknya masing-masing berusia 14 dan 18 tahun dapat merasakan gegaran, dan mereka terus keluar daripada rumah selepas melihat api yang sedang marak.

“Saya hanya sempat bawa keluar kereta. Anak perempuan saya yang berumur 18 tahun cedera di kaki selepas terjatuh semasa memanjat pagar, akibat haba yang melampau.

“Kebanyakan barang di sekitar rumah sudah cair, menyukarkan kami keluar dari rumah,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan mangsa yang mengalami kecederaan ringan di tempatkan di kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya untuk menerima rawatan awal daripada petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Setakat 11 pagi ini 30 orang menerima rawatan awal, dan beberapa orang di hantar ke Hospital Serdang, Putrajaya dan Cyberjaya untuk rawatan lanjut.

 

KAWASAN LARANGAN

Dua kawasan perumahan seluas 290m akan ditutup dan dikategorikan sebagai kawasan larangan susulan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata kawasan terbabit ditutup sehingga ia dipastikan selamat sebelum penduduk dibenarkan kembali ke rumah mereka.

“Keutamaan pada masa sekarang adalah keselamatan para penduduk,” katanya di Facebook, selepas tiba di pos kawalan tempat kejadian dan bertemu Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Nor Hisham Mohammad.

Amirudin memaklumkan letusan 8:10 pagi tadi telah berjaya dipadam sepenuhnya pada 3:45 petang.

PUNCA KEJADIAN

Kebakaran saluran paip gas Petronas sepanjang 500 meter di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor hari ini dipercayai berpunca daripada fenomena letupan wap cecair mengembang atau Boiling Liquid Expanding Vapor Explosion (BLEVE).

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, insiden itu berlaku apabila gas mudah terbakar bocor, menyebabkan wap gas terapung di udara sebelum berlaku pencucuhan yang mencetuskan letupan besar.

“Apabila wap gas yang mudah terbakar ini terapung di udara, ia hanya menunggu masa untuk dinyalakan atau menjadi punca kebakaran, menyebabkan satu letupan yang cukup kuat akibat kebocoran paip ataupun bekas yang mengandungi gas mudah terbakar.

“Bekas ini mungkin mengalami kerosakan atau pecah, mungkin terdapat kebocoran atau mungkin disebabkan oleh injap yang terbuka dan sebagainya,” katanya dalam program Bernama World terbitan Bernama TV di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua pemasangan paip gas di negara ini perlu mematuhi standard keselamatan antarabangsa dan undang-undang tempatan seperti Piawaian Penyimpanan, Pengendalian dan Pengangkutan Gas Petroleum Cecair (MS830) serta Piawaian Penyimpanan dan Pengendalian Cecair Mudah Terbakar (MS761).

Mohammad Hamdan berkata, syarikat minyak dan gas juga perlu mematuhi piawaian antarabangsa seperti The Compressed Gases and Cryogenic Fluids Code (NFPA 55) yang menetapkan jarak keselamatan bagi mengurangkan risiko letupan dan kebakaran sekiranya berlaku kebocoran.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk berdekatan supaya segera berpindah ke kawasan selamat, mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk JBPM serta menjauhi kawasan terjejas.

“Kebakaran ini boleh menyebabkan haba radiasi yang merosakkan harta benda berdekatan dan menjadi punca kepada apa yang dikenali sebagai peningkatan kebakaran. Kebakaran juga boleh merebak ke aset-aset berhampiran apabila mencapai suhu tertentu,” katanya.

Sementara itu, pakar dan aktivis keselamatan minyak dan gas, Kapten MS Affendy Abdul Rani berkata, kebakaran saluran paip berbeza daripada kebakaran biasa kerana melibatkan bahan mudah terbakar yang berada dalam keadaan tekanan tinggi dan boleh terus membakar selagi bekalan gas tidak ditutup.

Katanya, api daripada kebakaran gas itu lebih panas dan sukar dipadamkan menggunakan air sahaja kerana gas yang bocor boleh terus menyala.

“Jadi, menutup bekalan gas adalah langkah yang kritikal kerana ia menghentikan sumber bahan api sekali gus mengawal kebakaran daripada terus merebak. Jika saluran gas tidak ditutup, api akan terus aktif,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye menekankan tiga keutamaan selepas kejadian kebocoran itu, iaitu penyediaan maklumat terkini mengenai kualiti udara dan potensi risiko kesihatan.

Selain itu, katanya, pemindahan penduduk harus dilaksanakan secara menyeluruh terutamanya bagi golongan rentan dan akhirnya siasatan yang telus dan komprehensif untuk mengenal pasti punca kebocoran dan mencegah kejadian serupa.

Setakat 3.40 petang ini, sebanyak 190 unit rumah, 148 kereta, serta 11 motosikal dilaporkan rosak dalam kejadian kebakaran itu.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

PM ARAH BANTUAN SEGERA

Mangsa yang terkesan dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini, bakal diberi bantuan segera untuk meringankan beban mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilik rumah yang mengalami kerosakan total akan diberi bantuan sebanyak RM5,000, manakala rumah yang rosak sebahagian akan diberi bantuan sebanyak RM2,500.

“Langkah segera dalam tempoh sehari dua ini. Petronas, kalau perlu kerajaan persekutuan akan lihat keperluan menambah. Rumah rosak sepenuhnya diberi RM5,000 supaya mereka dapat guna untuk perbelanjaan sementara.

“Manakala yang lain, terdapat kira-kira 100 buah rumah, akan menerima RM2,500,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas melawat bilik gerakan kebakaran berhampiran Kuil Sri Maha Kaliamman, pada Selasa.

Kata Perdana Menteri, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan Petronas mengambil tanggungjawab memperbaiki dan memulih kawasan perumahan terjejas, namun ia dijangka mengambil masa.

Katanya lagi, tindakan terperinci bagi membantu mereka yang terjejas akan dibincangkan dengan semua agensi terbabit, termasuk wakil penduduk.

“Langkah yang kita ambil, menerusi perbincangan antara kerajaan negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Petronas, tak mungkin rumah-rumah ini boleh dipulihkan dalam masa singkat.

“Jadi sekarang Petronas dan kerajaan sedang bincang bagaimana nak ambil tindakan sementara tapi munasabah kerana insiden ini bukan macam banjir, seminggu dua sudah boleh selesai,” katanya.

 

Laporan lanjut menyusul.

GALERI VIDEO

(Sumber dari media sosial)

Video Player

GALERI FOTO

(Sumber media sosial)

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button