
Ramadan bulan untuk bersihkan hati dan jiwa – Raja Muda Perlis
KANGAR 14 Mac – Bulan Ramadan adalah waktu yang sesuai untuk membersihkan hati dan jiwa daripada sifat-sifat negatif seperti iri hati, dengki, dan sifat buruk lain.
Setelah itu, ambillah peluang untuk memperbaharui amalan ibadah, berdoa, meningkatkan kesabaran dan ketaatan kepada Allah, memohon keberkatan dalam kehidupan serta memperbanyakkan amal soleh seperti membaca al-Quran, berzikir, dan bersedekah.
Demikian titah nasihat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Santan dekat Kangar baru-baru ini.
Kayuhan amal anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini merupakan aktiviti mingguan dengan kerjasama ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan dalam menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf terpilih yang memerlukan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah pada edisi kali ini kepada Mohzan Ahmad, 48 tahun dari Jalan Santan, Midah Man, 85 tahun dari Kampung Padang Lati dan Azmi Ismail, 71 tahun dari Kampung Baroh.