
MAIPs peruntuk RM505,000 kepada 101 masjid
KANGAR 14 Mac – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan peruntukan berjumlah RM505,000 bagi program Ihyak Masjid kepada 101 buah masjid di seluruh negeri ini.
Peruntukan tersebut bertujuan menyokong usaha pengimarahan dan pemerkasaan institusi masjid sebagai pusat perkembangan dakwah serta aktiviti kemasyarakatan.
Pelancaran program itu disempurnakan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Unit Agihan Zakat MAIPs, Muhammad Najdi Mohd Noor.
Menurut kenyataan MAIPs, peruntukan ini bukan sekadar untuk penyelenggaraan fizikal masjid, tetapi juga bagi mengimarahkan rumah ibadah dengan program keilmuan dan kebajikan.
“Masjid perlu menjadi pusat ilmu dan pembangunan rohani yang aktif serta menjadi tempat perlindungan bagi masyarakat setempat. Justeru, MAIPs komited merangka pelbagai program bagi memastikan institusi ini kekal relevan dalam mendepani cabaran semasa,” menurut kenyataan tersebut.
MAIPs turut menegaskan bahawa sudah tiba masanya umat Islam mengembalikan peranan masjid sebagai jantung gerakan ummah.
“Masjid bukan sekadar tempat solat, tetapi pusat penggerak perubahan sosial, ekonomi, dan pendidikan masyarakat Islam. Kita harus menjadikannya sebagai medan penyatuan dan pembinaan tamadun yang kukuh, agar ia terus menjadi benteng utama dalam mempertahankan nilai dan maruah umat Islam,” tambah kenyataan itu.
MAIPs terus komited merancang pelbagai inisiatif bagi memastikan masjid di Perlis bukan hanya berfungsi sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai agen perubahan yang mampu membangunkan ummah secara holistik.
Foto : Ihsan MAIPs.