
Starvendors Mega Raya 2025 lokasi baharu di KL Base ! yang penting parking percuma
STARVENDORS Mega Raya 2025 bakal berlangsung di lokasi baharu, KL Base, dengan sasaran 800,000 hingga sejuta pengunjung dalam tempoh 80 jam penganjurannya.
Menurut CEO Stabil Event Sdn. Bhd., Datuk Ifaraziah, pemilihan KL Base sebagai lokasi acara tahun ini dibuat bagi memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung dengan konsep gabungan indoor dan outdoor.

“Sebelum ini, kita berada di KL Convention Centre selama dua tahun dengan jumlah kehadiran yang sangat memberangsangkan. Tahun pertama, kita menerima sejuta pengunjung, manakala tahun kedua meningkat kepada 1.2 juta. Tahun ini, walaupun di lokasi baharu, kita optimis dengan kehadiran sekurang-kurangnya 500,000 orang,” katanya.
Kemudahan Lebih Baik dan Parkir Percuma
Antara kelebihan di lokasi baharu ini ialah ruang parkir yang lebih luas dan percuma, berbanding KLCC yang mengenakan bayaran tinggi. KL Base mampu menampung sehingga 30,000 kenderaan dalam satu masa, memberikan keselesaan kepada pengunjung.
“Sebelum ini, ada rungutan tentang caj parkir yang mahal di KLCC, tetapi kali ini kita beri percuma. Selain itu, kemudahan lain seperti surau, masjid berdekatan, tandas, serta ruang makan turut disediakan untuk keselesaan pengunjung dan vendor,” jelas Ifaraziah.
Gabungan Konsep Indoor dan Outdoor
Salah satu faktor utama pemindahan lokasi adalah untuk membolehkan vendor makanan menyediakan hidangan secara langsung di tapak acara.
“KLCC dan beberapa lokasi lain tidak membenarkan aktiviti memasak dalam dewan. Kita faham bahawa pengunjung bukan sahaja ingin membeli barang raya, tetapi juga mahu menikmati makanan dan berbuka puasa di lokasi acara. Oleh itu, kita memilih KL Base yang membolehkan gabungan indoor dan outdoor,” tambahnya.
Kekuatan Penganjuran dan Tarikan Selebriti
Ifaraziah turut menepis dakwaan bahawa pemindahan ke KL Base adalah satu langkah menurunkan standard acara (downgrade).
“Kami sudah lama dalam industri ini dan telah berjaya menganjurkan acara di pelbagai negeri termasuk Melaka, Johor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang. Setiap kali, rekod kehadiran sentiasa tinggi kerana Starvendors sudah mempunyai jenama yang kukuh.
“Di mana sahaja kami anjurkan, vendor tetap mengikuti kerana mereka yakin dengan kekuatan pemasaran dan daya tarikan Starvendors,” katanya.
Tahun ini, acara ini akan menampilkan 50 selebriti terkenal yang akan bersama-sama merancakkan suasana.
“Biasanya, di KLCC kita menampilkan sehingga 100 selebriti. Namun, kali ini kita fokus kepada 50 orang yang benar-benar mampu menarik minat pengunjung,” katanya.
Perancangan Jelajah ke Negeri-Negeri Lain
Selepas Mega Raya di KL Base, Starvendors akan meneruskan siri jelajah ke beberapa lokasi lain termasuk Melaka, Pahang dan Pulau Pinang.
“Kami merancang untuk menganjurkan lima acara besar tahun ini. Di Melaka, lokasi yang sedang dipertimbangkan adalah MITC atau kawasan lain yang sesuai. Sementara itu, di Pulau Pinang, kita mungkin beralih ke bahagian pulau berbanding Seberang Jaya seperti sebelum ini,” katanya.
Dengan persiapan rapi dan strategi pemasaran yang kukuh, Starvendors Mega Raya 2025 dijangka terus menjadi acara wajib bagi mereka yang ingin mendapatkan kelengkapan Hari Raya dengan pelbagai pilihan menarik.
Selain artis-artis terkenal, SPayLater juga akan memudahkan pengunjung dengan kaedah
pembayaran yang Patuh Syariah. Pengunjung boleh membeli barang keperluan anda dan bersedia
untuk Hari Raya dengan hanya satu klik, di semua kedai yang terdapat di Star Vendors KL Mega
Raya Fest!.
Pengunjung boleh memilih untuk bayar bulan depan dengan 0 caj, atau secara ansuran sehingga
12 bulan dengan diskaun eksklusif SPayLater! SPayLater, bayar dengan fleksibiliti, berbelanja
dengan bijak.