Pendidikan asas pembangunan peribadi, masyarakat, negara
RANONG (Thailand) – Pendidikan merupakan asas bagi pembangunan peribadi, masyarakat, dan juga negara. Sebagai umat Islam, kita diajar untuk menuntut ilmu dari buaian sehinggalah ke liang lahad, kerana ilmu merupakan ‘cahaya’ yang akan menerangi jalan hidup kita. Di sinilah pentingnya institusi pendidikan yang bukan sahaja menekankan aspek akademik semata-mata, tetapi juga terhadap pembentukan akhlak dan peribadi pelajar yang unggul.
Sebagai satu Ummah, kita adalah “Ummatan Wahidah”, yakni satu umat yang bersatu di bawah panji-panji Islam. Prinsip ini sangat penting untuk kita semua, kerana ia menekankan tentang perpaduan dan saling bantu-membantu dalam kebaikan.
Demikian menurut kenyataan MAIPs titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika Baginda berkenan berangkat mengadakan lawatan kerja ke Masjid Darul Jannah, Ranong, Thailand.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Yang DiPertua Majlis Agama Islam Wilayah Ranong, Madsa Madnam.
Hadir sama mengiring ialah Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, Pengerusi Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) MAIPs Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Penyelaras Hubungan Antarabangsa MAIPs Bagi Thailand, Mejar Jeneral Polis (Bersara) Datuk Pichate Pitisathepan dan isteri beliau, Datin Nuranee Pitisathepan.
Majlis ini bertujuan untuk menyantuni masyarakat islam di sekitar masjid tersebut terutamanya golongan yang kurang bernasib baik seperti anak yatim dan asnaf yang memerlukan.
Baginda berdua turut berkenan untuk menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs bernilai RM 3000 kepada masjid tersebut yang diterima oleh Tuan Imam, Adam Ahmad yang akan diagihkan kepada anak-anak yatim yang terpilih.