48 sertai program usahawan berteraskan syariah bimbingan ATAM
Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) terus memainkan peranan penting dalam memperkasa golongan asnaf melalui pelbagai inisiatif pembangunan keusahawanan sepanjang tahun 2024. Program-program ini dirangka untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan, dan daya saing usahawan asnaf dalam menghadapi cabaran ekonomi serta mendepani era digital.
Sepanjang tahun ini, Program I-ISHRAF dengan kerjasama YAPIEM mencatatkan penyertaan tertinggi seramai 48 peserta, memberi tumpuan kepada pemahaman asas keusahawanan berteraskan syariah. Program I-Asnaf Act dan aplikasi Hitung Untung dan Stom bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula berjaya menarik 40 peserta, membekalkan ilmu dalam bidang pengurusan kewangan dan aplikasi perniagaan.
Selain itu, seramai 50 peserta telah menyertai Program Achievement Motivation Training (AMT) dan Business Motivation Training (BMT) anjuran MARA, yang memberi penekanan kepada motivasi diri dan strategi membangun perniagaan manakala Program Latihan Coaching dan Mentoring Usahawan MAIPs bersama RP Group Imza Oracle Sdn Bhd pula melibatkan 20 peserta turut memfokuskan kepada pembangunan usahawan secara holistik.
Inisiatif lain termasuk Bengkel “Home-Based Food” yang dilaksanakan dengan kerjasama Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Daerah Kangar, melibatkan 20 peserta, manakala Klinik Halal yang dikendalikan oleh JAIPs menarik seramai 29 peserta. SSM turut memainkan peranan penting melalui program PBU 23 yang disertai oleh 50 peserta, di samping Taklimat SSM dengan 60 peserta.
Tidak ketinggalan, turut dianjurkan Bengkel Penulisan Perniagaan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) yang melibatkan 10 peserta dan program bersama TAYLORS CIMB yang menyokong 18 peserta dalam pengurusan dan pengembangan perniagaan. Program Mikro Bank Islam turut memberi manfaat kepada 20 peserta, sementara Kursus Kendalian Makanan anjuran Perunding Bijak Bakti mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi iaitu 75 peserta.
Kolej Komuniti Arau juga memainkan peranan signifikan melalui Kursus Pembungkusan dan Pelabelan yang disertai 30 peserta, serta Kursus Perancangan Strategik Perniagaan dan Strategi Menentukan Harga Jualan dengan 25 peserta. Program Asas Keusahawanan termasuk Bengkel Digitalisasi (melibatkan Pembayaran Digital, Fotografi Produk, dan Canva) menarik 10 peserta, sementara Business Model Canvas bersama Kolej Komuniti Arau melibatkan 20 peserta.
Selain itu dilaksanakan CIMB MicroBiz Ready 2024, melibatkan 30 peserta, menunjukkan komitmen ATAM untuk menyediakan platform pembangunan usahawan berdaya tahan.
Demikian dipersembah maklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas Baginda berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar Sanglang, Perlis baru-baru ini.
Mohd Nazim menegaskan bahawa setiap program yang dirancang adalah sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk meningkatkan taraf hidup asnaf melalui pendidikan dan keusahawanan. “Kami percaya bahawa keusahawanan adalah kunci kepada kebebasan ekonomi, dan kami komited untuk menyediakan pelbagai latihan serta sokongan kepada asnaf untuk mencapai matlamat ini,” katanya.
Dengan jumlah penyertaan keseluruhan melebihi 500 peserta sepanjang 2024, inisiatif ini membuktikan keberkesanan strategi ATAM dalam mengubah kehidupan asnaf. MAIPs bertekad untuk meneruskan usaha ini dengan lebih banyak program dan kolaborasi pada tahun mendatang.
Majlis ini merupakan usaha dan inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam usaha mendekati dan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di negeri ini.
Kayuhan tersebut turut disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan bagi memberikan sokongan dan bantuan bagi menjayakan usaha murni MAIPs ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyerahkan sumbangan agihan MAIPs kepada Radziah Shaaban, 75 tahun dari Kampung Simpang Sanglang, Kholijah Bakar, 63 tahun dari Kampung Kuala Sanglang dan Roslan Md Isa, 65 tahun dari Kampung Padang Gelam.
Penerima-penerima ini merupakan asnaf yang terpilih pada edisi kali ini dan setiap seorang menerima wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli beserta beras Fidyah.