Gus Miftah mohon maaf kepada pakcik jual Teh Ais tapi netizen tetap tak puas hati
KINI, sebuah video yang tersebar di media sosial telah menarik perhatian ramai, memaparkan seorang lelaki tua yang menjual teh ais dan air mineral di sebuah majlis ceramah, yang kemudiannya dimalukan oleh seorang pendakwah terkenal dari negara Indonesia.
Video tersebut mendapat kecaman hebat daripada warganet apabila lelaki penjual teh ais yang membawa barang jualannya di atas kepala itu telah dihina oleh Gus Miftah Habiburrohman, seorang pendakwah terkenal.
Dalam video itu, Gus Miftah dilihat memanggil lelaki tersebut dengan gelaran “gblok” sambil ketawa bersama pendakwah lain yang berada di atas pentas. “Teh ais mu masih banyak tidak? Masih? Ya sana jual gblok,” kata Gus Miftah dengan nada ketawa.
Menurut laporan dari Sindonews, lelaki yang bernama Pak Sunhaji itu hanya diam dan tidak membalas kata-kata kasar tersebut, terus memegang barang jualannya.
Video yang tular itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen, termasuk dari warganet di Malaysia yang mengutuk keras tindakan Gus Miftah yang dianggap tidak beradab. “Saya di sana mencari rezeki buat anak” – Pak Sunhaji.
Selepas video itu menjadi viral, seorang influencer Indonesia, Budi Irwanto, mengambil inisiatif untuk bertemu dengan Pak Sunhaji dan memberikan sejumlah wang sumbangan kepadanya.
Budi menjelaskan bahawa Pak Sunhaji sebelumnya bekerja sebagai pemotong kayu, namun selepas mengalami kecederaan patah tulang, beliau terpaksa mencari nafkah dengan menjual teh ais. Budi turut menceritakan bahawa Pak Sunhaji baru sahaja setahun berniaga, dan ketika pertemuan itu, beliau baru sahaja berjaya menjual beberapa cawan teh ais. “Bapak baru saja menawarkan dagangannya, dan hanya beberapa cawan yang terjual,” kata Budi.
Pak Sunhaji, yang memiliki seorang isteri dan dua orang anak yang masih bersekolah, meluahkan rasa kecewanya semasa pertemuan tersebut. “Saya di sana mencari rezeki untuk anak isteri, dan ada suara seperti itu. Kalau bagi saya, tak apa-apa, tapi lain kali jangan begitu,” katanya dengan nada yang penuh kesedihan.
Dalam perkembangan lain, Gus Miftah telah memohon maaf atas tindakannya itu melalui sebuah video permohonan maaf yang dimuat naik di TikTok.