Acara

Pesta Air Kuala Perlis 2024 kembali selepas lima tahun, perasmian gilang-gemilang

KANGAR: Selepas kali terakhir dianjurkan pada 2019 sebelum terpaksa dihentikan berikutan pandemik Covid-19, Pesta Air Kuala Perlis 2024 yang merupakan acara tradisi negeri ini kembali dalam suasana lebih meriah sekali gus bakal merancakkan lagi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Pesta Air Kuala Perlis 2024 yang bermula 12 sehingga 15 September itu dengan majlis perasmian disempurnakan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail malam tadi, juga berlangsung cukup meriah yang julung kali diadakan pada sebelah malam.

Berangkat sama pada majlis perasmian itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

Menariknya, pentas sempena perasmian berkenaan disediakan di atas muara sungai yang dihiasi lampu-lampu di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis sekali gus menyerlah suasana pada majlis itu.

Pesta Air Kuala Perlis 2024 yang bermula sejak tahun 1961 atau lebih 60 tahun itu dianjurkan kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Perpaduan dan Intergrasi Nasional.

Selain persembahan kebudayaan serta kesenian dan pertunjukkan bunga api, majlis perasmian berkenaan juga diserikan dengan persembahan nyanyian oleh artis terkenal, Datuk Jamal Abdillah sebelum diakhiri dengan pertandingan perahu berhias.

Abu Bakar dalam ucapannya berkata, sebanyak 15 kampung akan menyertai pesta air kali ini selain enam agensi serta jabatan turut mengambil bahagian termasuk peserta dari negara jiran iaitu dari Puju, Thailand.

Katanya, setelah lima tahun pesta ini tidak dapat diadakan berikutan kekangan pandemik Covid-19 namun tahun ini penganjuran berkenaan berjaya direalisasikan.

Ujarnya, antara acara yang dipertandingkan seperti perahu tradisi 12, perahu tradisi 14, perahu fiber 20 dan pertandingan perahu berhias selain beberapa pertandingan lain seperti panjat tiang licin, menjala ikan dan keceriaan kampung.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Perpaduan dan Intergrasi Nasional serta seluruh jabatan peringkat negeri dan pusat yang memberikan sumbangan dan kerjasama menjayakan Pesta Air Kuala Perlis 2024 ini.

Selama hampir sebulan, di mana setiap petang kami warga Kuala Perlis dari setiap kampung menjalani latihan dan persediaan di muara sungai Kuala Perlis ini,” katanya.

Sementara itu, Che Murad pula berkata, penganjuran Pesta Air Kuala Perlis merupakan acara tradisional yang telah dilaksanakan sejak tahun 1950-an lagi dan kini ianya dijadikan sebagai acara tahunan oleh masyarakat Kuala Perlis.

Bagaimanapun katanya, Pesta Air Kuala Perlis telah dihentikan penganjurannya pada tahun 2020 ekoran daripada penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika itu.

Katanya, dalam usaha membangunkan sektor pelancongan Perlis agar ia selari dengan hasrat menjayakan TMPs 2024/2024, kerajaan negeri melihat bahawa Pesta Air Kuala Perlis wajar dihidupkan semula memandangkan ianya merupakan salah satu produk pelancongan yang sangat diminati dan berupaya menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negeri ini.

“Kerajaan negeri yakin dan percaya bahawa penganjuran pesta air ini merupakan salah satu medium untuk merapatkan hubungan sesama masyarakat khusus menarik minat generasi muda disamping memberikan kesedaran tentang kepentingan mengekalkan nilai warisan yang diperturunkan dari satu generasi ke genarasi yang lain,” katanya.-UTUSAN

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button